PRESTASI PERDAGANGAN MALAYSIA BERMULA DENGAN KUKUH PADA JANUARI 2025, MENGGAMBARKAN UNJURAN POSITIF TAHUN 2025#

Perdagangan, Eksport dan Import Catat Nilai Tertinggi bagi Bulan Januari Prestasi perdagangan Malaysia bermula kukuh pada Januari 2025, merekodkan trajektori positif dengan perdagangan mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari. Perdagangan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-13 bulan berturut-turut, naik 3.1% kepada RM241.95 bilion berbanding Januari 2024. Eksport mengembang empat bulan berturut-turut, meningkat 0.3% kepada RM122.79 bilion dan import naik 6.2% kepada RM119.16 bilion. Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM3.63 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-57 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Prestasi eksport pada Januari 2025 ini telah disokong oleh pertumbuhan kukuh sektor utama, khasnya perkilangan dan pertanian. Tahun ini bermula dengan prestasi memberangsangkan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan kenaikan hampir RM7 bilion. Barangan lain yang turut mencatatkan peningkatan eksport termasuklah minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Dari segi pasaran, eksport ke Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan telah merekodkan pertumbuhan dua digit pada Januari 2025, disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).

Mengikut pengumuman terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2024 dicatat kukuh, dengan peningkatan ketara sebanyak 5.1% berbanding 3.6% pada tahun 2023. Menurut BNM, pertumbuhan KDNK tahun 2024 ini disumbangkan antaranya oleh, peningkatan 12.3% dalam pelaburan swasta, dan 8.5% peningkatan dalam eksport. Berikutan itu, MITI dan MATRADE akan terus komited untuk memacu pertumbuhan eksport, melalui pengukuhan hubungan dengan rakan dagang utama, meneroka pasaran baharu dan memberi sokongan yang diperlukan kepada pengeksport Malaysia untuk mengekalkan daya tahan dan kejayaan jangka panjang yang mampan.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Barangan E&E Pacu Pertumbuhan Eksport

Pada Januari 2025, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 84.8% daripada jumlah eksport Malaysia meningkat 0.4% tahun ke tahun kepada RM104.12 bilion, merupakan pertumbuhan yang keempat bulan berturut-turut. Kenaikan ini telah dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran getah.

Eksport keluaran pertanian (7.4% syer) mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut dengan peningkatan dua digit sebanyak 11% kepada RM9.13 bilion. Ini telah didorong oleh eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang kukuh disumbangkan oleh harga eksport yang lebih tinggi.

Sementara itu, eksport hasil galian (6.9% syer) menyusut 12.6% tahun ke tahun kepada RM8.5 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) yang disebabkan oleh pengurangan kuantiti dan harga eksport serta petroleum mentah kesan penurunan harga eksport.

Eksport utama pada Januari 2025:

  • Barangan E&E, bernilai RM50.53 bilion dan merangkumi 41.1% daripada jumlah eksport, meningkat 14.8% berbanding Januari 2024;
  • Keluaran petroleum, RM9.76 bilion, 7.9% daripada jumlah eksport, ↓34.1%;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.69 bilion, 5.4% daripada jumlah eksport, ↑8.7%;
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM5.92 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport,↑7.8%; dan  
  • Kimia dan bahan kimia, RM5.51 bilion, 4.5% daripada jumlah eksport, ↓8.7%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing menurun sebanyak 11.2%, 13.8% dan 14%.Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

Pada Januari 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) merangkumi 70.1% syer daripada jumlah perdagangan Malaysia pada bulan ini.

ASEAN – Eksport Barangan E&E Melonjak

Perdagangan dengan ASEAN pada Januari 2025 yang merangkumi 25.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia menurun 4.2% tahun ke tahun kepada RM62.15 bilion. Eksport merosot 1.5% kepada RM36.78 bilion, berikutan permintaan yang lebih perlahan bagi keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta LNG. Walau bagaimanapun, penyusutan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Import dari ASEAN berkurangan sebanyak 7.9% kepada RM25.37 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

  • Singapura          RM20.86 bilion, meningkat 19.7%, tahun ke tahun;
  • Thailand             RM5.08 bilion, ↑3.2%;
  • Indonesia           RM4.26 bilion, ↓23.5%;
  • Viet Nam            RM3.16 bilion, ↓47.4%;
  • Filipina               RM2.37 bilion, ↑3.8%;
  • Brunei                RM530.8 juta, ↑54.1%;
  • Kemboja            RM261.5 juta, ↓8.7%;
  • Myanmar           RM255.5 juta, ↓46.1%; dan
  • Lao PDR           RM5.8 juta, ↑29.5%.

Peningkatan eksport dicatatkan ke Singapura, yang meningkat sebanyak RM3.43 bilion tahun ke tahun dan Thailand, yang naik sebanyak RM156.7 juta, disebabkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke Filipina bertambah sebanyak RM86 juta berikutan eksport yang tinggi bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing menurun sebanyak 7.1%, 4.3% dan 10.9%.

China – Perdagangan Meningkat pada Januari 2025

Pada Januari 2025, perdagangan dengan China yang merangkumi 17.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 4.7% tahun ke tahun kepada RM41.43 bilion. Eksport menyusut 4% kepada RM13.32 bilion berikutan penurunan eksport LNG, keluaran petroleum serta bijih logam dan serpihan logam. Walau bagaimanapun, eksport barangan E&E serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit telah mencatatkan peningkatan yang kukuh. Import dari China naik 9.4% kepada RM28.11 bilion.

Berbanding bulan Disember 2024, import meningkat 2.7%, manakala perdagangan dan eksport masing-masing mengurang sebanyak 11.3% dan 31.2%. 

AS – Perdagangan, Eksport dan Import Rekod Pertumbuhan Dua Digit

Pada Januari 2025, perdagangan dengan AS yang mewakili 11.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik sebanyak 28.8% tahun ke tahun kepada RM28.47 bilion. Eksport meningkat 28.1% kepada RM17.25 bilion dan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-13 bulan berturut-turut sejak Januari 2024. Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E. Import dari AS bertambah 29.9% kepada RM11.22 bilion.

Berbanding bulan Disember 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 8.1%, 8.9% dan 6.9%.

Taiwan – Pertumbuhan Dua Digit Eksport yang ke-13 Bulan BerturutTurut

Pada Januari 2025, perdagangan dengan Taiwan yang menyerap 8.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi paras RM20 bilion untuk kali pertama, bernilai RM20.45 bilion, melonjak 68.6% berbanding Januari 2024. Eksport meningkat 26.3% kepada RM5.53 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit  yang ke-13 bulan berturut-turut, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik. Import dari Taiwan menokok 92.5% kepada RM14.92 bilion.

Berbanding bulan Disember 2024, perdagangan dan import masing-masing naik sebanyak 19.2% dan 39.7%, manakala eksport menyusut 14.6%.

EU – Eksport Minyak Sawit dan Barangan Berasaskan Minyak Sawit Kukuh

Pada Januari 2025, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 4.1% kepada RM17.13 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas. Eksport berkurang 2.6% kepada RM9.69 bilion disebabkan oleh penurunan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam serta barangan besi dan keluli. Walau bagaimanapun, pertumbuhan eksport telah dicatatkan bagi minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia.

Import dari EU mengurang 6.1% kepada RM7.44 bilion.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.7% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:

  • Belanda                  RM3.35 bilion, meningkat 20.2%, tahun ke tahun;
  • Jerman                   RM2.80 bilion, ↓4.1%;
  • Belgium                  RM590.1 juta, ↓28.6%;
  • Itali                         RM527.7 juta, ↓32.4%;
  • Sepanyol                RM514.1 juta, ↓4.0%;
  • Perancis                 RM393.6 juta, ↓36.7%;
  • Republik Czech      RM319.2 juta, ↑67.7%;
  • Poland                    RM266.7 juta, ↑5.0%;
  • Hungary                  RM208.4 juta, ↓4.3%; dan
  • Sweden                   RM107.2 juta, ↓23.4%.

Antara pasaran utama di EU yang mencatatkan pertumbuhan eksport adalah Belanda, naik sebanyak RM563.3 juta tahun ke tahun disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, Republik Czech, meningkat sebanyak RM128.8 juta berikutan eksport kukuh barangan E&E dan Poland, menokok sebanyak RM12.6 juta disebabkan oleh eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport meningkat 4.8%, manakala perdagangan dan import masing-masing menurun sebanyak 9.1% dan 22.5%.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA   

Pada Januari 2025, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 63.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia menurun 2.6% tahun ke tahun kepada RM152.89 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA menyusut 3.3% kepada RM81.32 bilion manakala import mengurang 1.8% kepada RM71.57 bilion.

Meskipun jumlah eksport ke rakan dagang FTA mengurang, kenaikan eksport telah direkodkan ke Hong Kong SAR, meningkat sebanyak 12.3% kepada RM7.38 bilion dan ke Kanada, melonjak 102.6% kepada RM684.5 juta, didorong oleh eksport barangan E&E yang lebih tinggi.

Selain itu, eksport ke Türkiye berkembang 5.9% tahun ke tahun kepada RM1.95 bilion, disokong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport ke Peru meningkat 27.5% kepada RM113 juta dan eksport ke Chile melonjak 93.4% kepada RM100.3 juta, dipacu oleh eksport kukuh bagi kimia dan bahan kimia.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing mengurang 8.6%, 13.3% dan 2.5%.

Prestasi Import  

Jumlah import pada Januari 2025 meningkat sebanyak 6.2% tahun ke tahun kepada RM119.16 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir, yang merangkumi 76.1% daripada jumlah import adalah:

  • Barangan perantaraan, bernilai RM60.71 bilion atau 51% daripada jumlah import, meningkat 3.3% tahun ke tahun, disumbangkan oleh kenaikan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, bernilai RM19.97 bilion atau 16.8% daripada jumlah import, meningkat 45.9%, disebabkan oleh pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, bernilai RM10.06 bilion atau 8.4% daripada jumlah import, menyusut 2.6%, berikutan penurunan import barangan tidak tahan lama.

Berbanding bulan Disember 2024, import menurun sebanyak 0.2%. Import barangan modal meningkat 15%, manakala import barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing-masing menyusut sebanyak 0.4% dan 2%.