MATRADE Terima Peruntukan RM50 Juta untuk Memacu Strategi Pempelbagaian Perdagangan Global
KUALA LUMPUR, 7 MEI 2024 (RABU) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyambut baik pengumuman peruntukan tambahan RM50 juta oleh kerajaan dalam usaha mempergiatkan penerokaan pasaran baharu. Pengumuman ini, yang dibuat oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan ketahanan ekonomi dan daya saing Malaysia bagi menghadapi cabaran perdagangan global.
Selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dan di bawah kepimpinan Menteri MITI, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, MATRADE giat memperluas capaian eksport Malaysia. Di samping terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat, China, ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), MATRADE dalam pada itu turut mempertingkatkan usaha untuk meneroka pasaran baharu seperti Amerika Latin, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika. Pada tahun 2024, eksport Malaysia ke pasaran-pasaran ini merekodkan pertumbuhan menggalakkan khususnya ke Asia Selatan dan Timur Tengah yang masing-masing berkembang sebanyak 11.8% dan 6.3%.
Melalui inisiatif bersasar yang merangkumi pameran perdagangan antarabangsa, misi akselerasi eksport, program padanan perniagaan serta penggunaan platform MADANI Digital Trade (MDT), MATRADE membantu syarikat Malaysia terutamanya PMKS, untuk menembusi pasaran-pasaran baharu ini serta mengekal dan meraih hubungan perdagangan dengan rakan strategik global.
MATRADE menggesa semua syarikat berorientasikan eksport, khususnya Syarikat Peringkat Pertengahan (SPP) dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), untuk memanfaatkan peluang ini dan menghubungi agensi berkenaan untuk mendapatkan bantuan bagi mengembangkan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.