Prestasi Perdagangan Luar Bagi Bulan April 2025
PERDAGANGAN DAN EKSPORT MALAYSIA PADA APRIL 2025 REKOD NILAI TERTINGGI BAGI BULAN APRIL
Pertumbuhan Dua Angka bagi Perdagangan Malaysia pada April 2025, Catat Nilai Tertinggi Sejak Ogos 2022
Prestasi perdagangan Malaysia terus mengekalkan trajektori positif pada April 2025, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-16 bulan berturut-turut sejak Januari 2024. Perdagangan meningkat 18.2% tahun ke tahun kepada RM261.94 bilion, nilai bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Ogos 2022, disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dua digit eksport dan import pada bulan ini. Eksport mengembang 16.4% kepada RM133.56 bilion manakala import naik 20% kepada RM128.37 bilion. Lebihan dagangan yang ke-60 bulan berturut-turut telah direkodkan sejak Mei 2020, bernilai RM5.19 bilion.
Pertumbuhan eksport telah didorong terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan perkilangan, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatatkan peningkatan hampir RM16 bilion. Sektor penting yang lain adalah keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang turut memberi sumbangan kepada pengembangan keseluruhan eksport.
Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport yang kukuh dicatatkan ke negara rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan ke Taiwan yang mencapai rekod tertinggi baharu. Sementara itu, jumlah eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kembali meningkat dengan kukuh. Antara pasaran yang mencatatkan pertambahan eksport ialah Mexico, India dan Republik Korea (ROK) yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini. Perdagangan meningkat 7.2% tahun ke tahun kepada RM977.61 bilion, eksport naik 7.3% kepada RM511.92 bilion dan import bertambah 7% kepada RM465.69 bilion. Lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 10.4% kepada RM46.23 bilion.
Eksport bersih telah menyumbang kepada pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.4% pada suku pertama tahun 2025, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM). Selain itu, laporan terkini Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) turut melaporkan, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-24 dalam perdagangan global tahun 2024, berbanding kedudukan ke-26 pada tahun 2023.
Menyedari bagaimana cabaran perdagangan global berpotensi menjejaskan kadar pertumbuhan, MITI bersama agensi promosi eksportnya, MATRADE, sedang giat memperhebatkan usaha untuk meningkatkan eksport di samping mempelbagaikan destinasi eksport Malaysia. Selain mengekalkan hubungan erat dengan rakan dagang yang sedia ada, MATRADE juga aktif meneroka pasaran baharu melalui pelbagai inisiatif strategik seperti pameran perdagangan antarabangsa, misi akselarasi eksport, program padanan perniagaan serta pelancaran platform MADANI Digital Trade (MDT). Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan pengeksport Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) agar lebih berdaya saing di peringkat global dan mampu memperluaskan capaian ke pasaran antarabangsa. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan: https://www.matrade.gov.my/en/25-malaysian-exporters/services-for-exporters/111- exports-assistance
Butiran lanjut mengenai Prestasi Perdagangan Malaysia bulan April 2025 dan Januari hingga April 2025 boleh didapati di Lampiran di bawah, yang perlu dibaca bersama dengan Nota yang mengiringi laporan ini.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Barangan E&E Pacu Pertumbuhan Eksport
Pada April 2025, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.7% daripada jumlah eksport meningkat tujuh bulan berturut-turut, sebanyak 19% tahun ke tahun kepada RM115.82 bilion. Peningkatan ini disumbangkan oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses.
Eksport keluaran pertanian (6.3% syer) pada April 2025 mencatat pertumbuhan untuk bulan ke-13 berturut-turut, meningkat sebanyak 3.5% tahun ke tahun kepada RM8.48 bilion berikutan peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Eksport hasil galian (6.1% syer) pada April 2025 menurun 1.3% tahun ke tahun kepada RM8.12 bilion berikutan pengurangan eksport petroleum mentah disebabkan harga eksport yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, eksport gas asli cecair (LNG) mencatat pertumbuhan berikutan peningkatan kuantiti dan harga eksport.
Barangan eksport utama pada April 2025:
- Barangan E&E, bernilai RM60.23 bilion merangkumi 45.1% daripada jumlah eksport, meningkat 35.4% berbanding April 2024;
- Keluaran petroleum, RM8.5 bilion, 6.4% daripada jumlah eksport, ↓9.3%; • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.5 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↑31%;
- Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.31 bilion, 4.7% daripada jumlah eksport, ↑1.8%; dan
- Kimia dan bahan kimia, RM5.23 bilion, 3.9% daripada jumlah eksport, ↓11.3%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keluaran pertanian meningkat 3.5%, manakala eksport barangan perkilangan dan hasil galian masing-masing menurun sebanyak 2.9% dan 7.1%.
Sepanjang empat bulan pertama tahun 2025, eksport barangan perkilangan meningkat 9.2% kepada RM440.56 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024, didorong oleh peningkatan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport keluaran pertanian mencatat pertumbuhan dua digit 11.1% kepada RM34.43 bilion, disebabkan oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Walau bagaimanapun, eksport hasil galian menurun 16.8% kepada RM32.6 bilion, berikutan penurunan eksport petroleum mentah dan LNG.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada April 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 71.8% syer daripada jumlah perdagangan.
ASEAN – Pertumbuhan Eksport bagi Tiga Bulan Berturut-turut
Pada April 2025, perdagangan dengan ASEAN yang menyumbang 25.8% kepada jumlah perdagangan Malaysia kembali meningkat dengan kenaikan sebanyak 11.2% tahun ke tahun kepada RM67.63 bilion. Eksport mencatatkan pertambahan bagi tiga bulan berturut-turut, dengan pertumbuhan kukuh dua digit 18.3% kepada RM40.68 bilion, disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E. Import dari ASEAN mengembang 1.9% kepada RM26.94 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
- Singapura RM22.99 bilion, meningkat 26.1%, tahun ke tahun;
- Thailand RM5.79 bilion, ↑19.9%;
- Viet Nam RM4.56 bilion, ↑9.7%;
- Indonesia RM4.24 bilion, ↑17.2%;
- FIlipina RM2.32 bilion, ↓8.3%;
- Kemboja RM273.0 juta, ↓1.3%;
- Myanmar RM252.0 juta, ↓19.1%;
- Brunei RM244.1 juta, ↓40.2%; dan
- Lao PDR RM4.1 juta, ↓19.9%.
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang mencatat peningkatan termasuk Singapura, yang meningkat sebanyak RM4.76 bilion tahun ke tahun, Thailand yang berkembang sebanyak RM959.3 juta dan Viet Nam yang naik RM402.4 juta, disokong oleh eksport barangan E&E yang kukuh. Sementara itu, eksport ke Indonesia meningkat RM621.5 juta, disokong oleh eksport keluaran petroleum yang lebih tinggi. Eksport ke Singapura mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Berbanding Mac 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menokok sebanyak 5.5%, 7.7% dan 2.3%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan dengan ASEAN mengembang 2.9% kepada RM253.57 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport meningkat 6% kepada RM149.83 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN menurun 1.4% kepada RM103.75 bilion.
China – Eksport Kembali Meningkat
Perdagangan dengan China yang merangkumi 16.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada April 2025 telah berkembang dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.9% tahun ke tahun kepada RM44.17 bilion. Eksport ke China kembali meningkat sebanyak 2.1% kepada RM14.4 bilion, didorong oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari China naik 20.6% kepada RM29.76 bilion.
Berbanding dengan Mac 2025, perdagangan dan import masing-masing naik sebanyak 7.7% dan 19.6%, manakala eksport menurun 10.6%.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan China meningkat 7.2% kepada RM161.98 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport menyusut 2.8% kepada RM56.98 bilion berikutan penurunan eksport LNG dan barangan perkilangan logam. Sebaliknya, eksport yang lebih tinggi telah dicatatkan bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China mengembang 13.6% kepada RM105 bilion.
AS – Eksport Catat Peningkatan Dua Digit
Pada April 2025, perdagangan dengan AS yang merangkumi 14.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 71.9% tahun ke tahun kepada RM37.69 bilion. Eksport meningkat 45.6% kepada RM19.22 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS bertambah 111.8% kepada RM18.47 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan kukuh 21.4% dan 120.1%, manakala eksport menurun 15.2%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan dengan AS terus berkembang dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 40.2% kepada RM124.59 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport ke AS naik 38.6% kepada RM76.64 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses. Import dari AS meningkat 42.9% kepada RM47.95 bilion.
Taiwan – Nilai Eksport Tertinggi Setakat Ini
Pada April 2025, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 7.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 77.4% tahun ke tahun kepada RM20.78 bilion. Eksport mencapai rekod tertinggi baharu, meningkat 44.7% kepada RM7.22 bilion, disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan meningkat 101.7% kepada RM13.56 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing mencatatkan pertumbuhan 15.2%, 4.1% dan 22.2%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan dengan Taiwan bertambah 36.1% kepada RM73.51 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mengembang 27.6% kepada RM24.74 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan pula meningkat 41% kepada RM48.77 bilion.
EU – Peningkatan Eksport bagi Tiga Bulan Berturut-turut
Pada April 2025, perdagangan dengan EU yang merangkumi 6.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 0.05% tahun ke tahun kepada RM17.7 bilion. Eksport berkembang bagi tiga bulan berturut-turut, meningkat 5.8% kepada RM9.49 bilion, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, kelengkapan pengangkutan serta barangan besi dan keluli. Import dari EU menyusut 5.9% kepada RM8.21 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Belanda RM3.14 bilion, meningkat 7.9%, tahun ke tahun;
- Jerman RM2.53 bilion, ↑2.7%;
- Perancis RM616.8 juta, ↑39.8%;
- Itali RM587.2 juta, ↑35.5%;
- Belgium RM575.5 juta, ↓8.2%;
- Sepanyol RM482.7 juta, ↓23.9%;
- Poland RM338.3 juta, ↑15.4%;
- Republik Czech RM238.0 juta, ↑37.3%;
- Hungary RM232.8 juta, ↓11.8%; dan
- Austria RM151.4 juta, ↑112.3%.
Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM230.3 juta, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport ke Jerman pula naik RM66.2 juta, dipacu oleh permintaan yang tinggi terhadap barangan optik dan saintifik. Begitu juga, eksport ke Perancis bertambah sebanyak RM175.5 juta disokong oleh kenaikan eksport kelengkapan pengangkutan, manakala eksport ke Itali mengembang RM153.7 juta disokong oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan besi dan keluli.
Berbanding Mac 2025, import meningkat 0.1%, manakala perdagangan dan eksport masing-masing menurun 6.9% dan 12.1%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan dengan EU bertambah sebanyak 0.8% kepada RM70.54 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport berkembang 5.1% kepada RM39.45 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kelengkapan pengangkutan. Import dari EU menurun 4.2% kepada RM31.1 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada April 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 62.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 10% tahun ke tahun kepada RM164.33 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA kembali meningkat dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.3% tahun ke tahun kepada RM88.34 bilion, manakala import menokok 7.5% kepada RM75.98 bilion.
Peningkatan eksport telah dicatatkan ke Mexico, yang melonjak sebanyak 145.5% kepada RM4.14 bilion, India, bertambah 6.1% kepada RM4.05 bilion serta ROK, meningkat 2% kepada RM4.07 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke Mexico mencapai nilai tertinggi setakat ini.
Sementara itu, eksport ke Jepun naik 6.8% kepada RM6.14 bilion, dipacu oleh eksport kukuh jentera, kelengkapan dan peralatan. Eksport ke Australia berkembang 18.2% kepada RM4.12 bilion berikutan permintaan lebih tinggi bagi keluaran petroleum, eksport ke Chile melonjak 161% kepada RM101.8 juta disumbangkan oleh kenaikan eksport kimia dan bahan kimia, manakala eksport ke Peru bertambah 12.7% kepada RM41.8 juta disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan makanan diproses.
Berbanding dengan Mac 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengembang 2.8%, 0.1% dan 6%.
Perdagangan dengan rakan dagang FTA bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2025 naik 2.1% kepada RM622.19 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport bertambah 2.3% kepada RM336.54 bilion, manakala import meningkat 1.8% kepada RM285.66 bilion.
Prestasi Import
Jumlah import pada April 2025 meningkat 20% tahun ke tahun kepada RM128.37 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 71.2% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM58.2 bilion atau 45.3% daripada jumlah import, menurun 1.7% tahun ke tahun, berikutan penyusutan import bahan api dan pelincir utama;
- Barangan modal, bernilai RM23.56 bilion atau 18.4% daripada jumlah import, melonjak 114.1%, hasil peningkatan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM9.68 bilion atau 7.5% daripada jumlah import, menurun 0.7%, disebabkan oleh pengurangan import makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding dengan Mac 2025, import naik 14.1%. Import barangan modal menokok 80.8%, manakala import barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing masing menurun 1.3% dan 0.5%.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, import meningkat 7% kepada RM465.69 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Import barangan perantaraan naik 1.6% kepada RM236.56 bilion, barangan modal bertambah 37.7% kepada RM70.34 bilion dan barangan penggunaan menokok 1.7% kepada RM38.53 bilion.