Women in Export (WiEX) Forum 2025: Platform Strategik Perkasa Usahawan Wanita Dalam Perdagangan Global
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 (KHAMIS) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan kerjasama HAWA Malaysia, akan menganjurkan Women in Export (WiEX) Forum 2025 buat julung kalinya pada 10 Jun 2025 (Selasa) di Dewan MATRADE, Aras 3, Menara MATRADE, Kuala Lumpur.
Dengan tema Dari Tempatan ke Global: Strategi Eksport untuk Usahawan Wanita, forum ini bermula dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang merupakan platform berprestij khususnya untuk memperkasakan usahawan wanita dalam sektor perdagangan antarabangsa. Penyertaan adalah percuma dan pendaftaran kini dibuka kepada semua usahawan dari pelbagai latar belakang industri.
“Penganjuran WiEX Forum ini adalah langkah signifikan dalam mempergiatkan penyertaan wanita dalam aktiviti perdagangan global. MATRADE komited untuk menjadi fasilitator kepada usahawan wanita agar mereka bukan sahaja bersaing di peringkat domestik, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa secara mampan. Ini termasuk usaha untuk membimbing usahawan wanita kita daripada peringkat permulaan dalam pasaran tempatan hingga bersedia untuk ke pasaran global,” kata Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.
WiEX Forum 2025 akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan dijangka menjadi medan strategik kepada usahawan wanita untuk mendapatkan pendedahan dan peluang mengakses pasaran eksport serta membina rangkaian profesional berskala global.
Menurut beliau, “WiEX Forum 2025 adalah manifestasi usaha kolektif dalam memperkukuhkan kedudukan wanita sebagai pemain utama dalam perdagangan rentas sempadan. Kami yakin forum ini mampu memberi nilai tambah kepada peserta daripada aspek pengetahuan, jaringan serta akses kepada peluang pasaran baharu.”
Forum ini bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang ekosistem dan peluang dalam perdagangan global, membina jaringan strategik antara usahawan wanita tempatan dan antarabangsa, berkongsi kisah kejayaan dan amalan terbaik serta menyokong pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025–2030 dalam memperkukuh penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan kepimpinan.
Statistik semasa menunjukkan hanya 23% perusahaan di Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh wanita, manakala penglibatan dalam sektor eksport dan teknologi tinggi kekal rendah. Melalui inisiatif seperti WiEX, MATRADE menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan wanita dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Antara pengisian program termasuk:
- Perkongsian Inspirasi Wanita: Kisah Kejayaan Wanita dalam Pelbagai Bidang
- Mengakses Pasaran Global melalui Platform Digital
- Building a Consistent Brand Identity Across Borders
- Kesediaan Mengeksport: Membina Jenama Malaysia dari Tempatan ke Global
- Ekonomi Malaysia: Mengharungi Gangguan Tarif dan Perkembangan Trend Global
Maklumat Pendaftaran:
Penyertaan adalah percuma dan pendaftaran akan ditutup pada 28 Mei 2025.
Daftar sekarang melalui pautan berikut:
https://forms.gle/31zJ3kB7EFns3GVt6
Jangan lepaskan peluang untuk membina jaringan, menimba ilmu, dan membuka laluan baharu ke pasaran eksport. Bersama kita memperkasa masa depan wanita dalam bidang eksport.