IPOH, PERAK, 11 JUN 2025 (RABU) - Majlis Penutup Hari Eksport Perak 2025 yang berlangsung pada 10-11 Jun 2025 telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad hari ini di Casuarina Convention Centre, Meru. Dengan penyertaan lebih daripada 150 usahawan tempatan, program ini merupakan satu kejayaan dalam usaha memperkasa usahawan Perak menembusi pasaran global.

Dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Hari Eksport Perak 2025 menyokong agenda Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai pengeksport daripada kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), selain meningkatkan kesedaran berhubung peluang eksport.

Antara objektif utama program ini adalah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan serta sektor swasta dalam ekosistem eksport negara, di samping menggalakkan syarikat tempatan meneroka pasaran antarabangsa secara mampan dan terus berdaya saing.

Dato' Seri Saarani berkata Hari Eksport Perak 2025 membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memacu lebih ramai usahawan tempatan Perak menceburi bidang eksport.

"Kerajaan Negeri melalui STeP dengan kerjasama MATRADE komited untuk terus menjadi jambatan yang menghubungkan syarikat-syarikat berdaftar di negeri Perak dengan pasaran antarabangsa melalui program seumpama ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican pula menekankan bahawa inisiatif seperti Hari Eksport Perak adalah bukti bahawa pendekatan inklusif dan berfokus mampu melahirkan lebih ramai pengeksport baharu dari setiap negeri di Malaysia.

"MATRADE akan terus memperkukuh sokongan melalui program latihan, promosi dan pemadanan perniagaan bagi memastikan syarikat tempatan terutama PMKS, bersedia menghadapi cabaran dan peluang global," katanya.

Menurut beliau lagi setakat Mei 2025, hampir 600 syarikat Perak telah berdaftar dengan MATRADE dan beliau menyeru agar lebih ramai syarikat tampil mendaftar dengan MATRADE untuk mendapatkan peluang bimbingan eksport.

Pada tahun 2024 hingga ke Mei 2025, MATRADE telah melaksanakan lebih 50 program khidmat nasihat dan latihan pengeksport serta memberikan fasilitasi eksport yang melibatkan penyertaan dan penerimaan geran oleh 782 syarikat dari Perak yang berjaya mencapai jualan eksport sebanyak RM1.90 bilion. Manakala sebanyak 118 syarikat Perak telah menyertai program promosi eksport yang dianjurkan MATRADE di dalam dan luar negara yang berjaya menjana hasil jualan eksport sebanyak RM1.65 bilion.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak mencatatkan eksport bernilai RM8.76 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 48.8 peratus berbanding tahun 2023. Kenaikan yang memberangsangkan ini membuktikan potensi eksport di peringkat negeri sangat besar dan perlu digerakkan secara progresif. 

Program Hari Eksport Perak 2025 mendapat sokongan rakan strategik seperti Malayan Banking Berhad, Affin Bank Berhad, FedEx Malaysia dan Redly Express. Majlis perasmian penutup ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Perak, YB Dato’ Salbiah Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Negeri Perak, YB Dato’ Zolkafly Harun , Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pengarah STeP, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), Mansor Shah Wahid.

Sebagai kesinambungan kejayaan program ini, MATRADE akan menganjurkan Hari Eksport seterusnya di Sarawak pada 2 hingga 3 Julai 2025, dan seterusnya di Selangor dan Negeri Sembilan pada bulan Ogos 2025, selaras dengan usaha memperluaskan capaian dan peluang eksport di seluruh negara.