Hari Eksport Kembali Semula ke Bumi Kenyalang
2-3 Julai 2025 | Hotel Imperial, Kuching, Sarawak
KUALA LUMPUR, 23 JUN 2025 (ISNIN) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dan Invest Sarawak akan sekali lagi menganjurkan Hari Eksport Sarawak 2025 pada 2 dan 3 Julai 2025 di Hotel Imperial, Kuching.
Selepas kejayaan luar biasa pada tahun lepas, acara berprestij ini akan kembali lagi untuk terus mengangkat misi nasional memperkasa usahawan sebagai pemain eksport global dengan sasaran penyertaan 400 syarikat tempatan yang bersemangat menerokai peluang eksport baharu.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak, dan akan turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE serta YBhg. Dato Mohammad Medan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah MATRADE.
“Sarawak mempunyai prestasi eksport yang luar biasa dan daya tahan ekonomi yang mengagumkan,” kata YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE. “Penganjuran Hari Eksport ini adalah satu usaha penting bagi membuka peluang baharu kepada lebih ramai usahawan negeri itu, serta mempersiapkan mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa,” tambah beliau.
Pada tahun 2024, Sarawak mencatatkan nilai eksport sebanyak RM116.8 bilion, meningkat sebanyak 3.82% berbanding tahun sebelumnya. Ini menjadikan Sarawak negeri keempat terbesar sebagai penyumbang eksport negara. Antara komoditi utama eksport Sarawak termasuk bahan api dan pelincir mineral (58.9%), barangan perkilangan (16.0%), minyak, lemak haiwan dan sayuran (14.7%) serta mesin dan kelengkapan pengangkutan (5.2%).
Hari Eksport Sarawak ini akan menampilkan sesi panel serta peluang jaringan perniagaan yang direka untuk melengkapkan pengeksport dengan maklumat pasaran terkini serta fasilitasi perdagangan yang disediakan oleh kerajaan.
Syarikat yang berminat untuk menyertai Hari Eksport Sarawak digalakkan mendaftar segera bagi memastikan tempat mereka dalam acara perdagangan utama ini di pautan:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfqhPzcXwWcnW62ATX3lMuVGT47ecC-_vlTjrvefriqpw--nQ/viewform.
Hari Eksport Sarawak 2025 menjanjikan satu acara bersejarah yang bukan sahaja meraikan pencapaian eksport Sarawak tetapi juga merangsang pertumbuhan dan kerjasama antarabangsa yang lebih luas.