PERTUMBUHAN PERDAGANGAN YANG MENGGALAKKAN SEBANYAK 4.8% DICATATKAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA JUN 2025
Minyak Sawit dan Barangan E&E Pacu Eksport pada Jun 2025
Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh pada separuh pertama (1H) tahun 2025, mencapai nilai perdagangan, eksport dan import tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini. Perdagangan meningkat 4.8% kepada RM1.465 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport naik 3.8% kepada RM760.2 bilion dan import bertambah 5.9% kepada RM704.67 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM55.53 bilion telah direkodkan.
Prestasi perdagangan pada Jun 2025, walau bagaimanapun, mencatat penurunan kecil sebanyak 1.2% kepada RM234.85 bilion berbanding Jun 2024. Eksport menyusut 3.5% kepada RM121.72 bilion, manakala import meningkat 1.2% kepada RM113.13 bilion. Lebihan dagangan kembali meningkat pada Jun 2025 kepada RM8.59 bilion, berbanding RM759.9 juta yang direkodkan pada Mei 2025. Ini merupakan lebihan yang ke-62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, sekali gus mencermin ketahanan berterusan dalam kedudukan perdagangan luar Malaysia.
Penurunan eksport ini disebabkan terutamanya oleh pengurangan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah. Sebahagian daripada penyusutan ini telah diimbangi oleh peningkatan berterusan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, yang mencatatkan pertumbuhan dua digit pada Jun 2025, meneruskan momentum pertumbuhan bagi 15 bulan berturut-turut. Ini turut di sokong oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan elektrik dan elektronik (E&E). Prestasi eksport barangan E&E dilihat sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) yang mengunjurkan peningkatan 11.2% dalam jualan semikonduktor global bagi tahun 2025.
Dari segi destinasi, eksport ke rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan kenaikan. Peningkatan turut direkodkan ke Mexico, didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E.
Berhubung langkah tarif oleh AS, Malaysia kekal komited untuk meneruskan libat urus ke arah mencapai aturan perdagangan yang seimbang dan memberi manfaat bersama. MITI dan MATRADE juga sedang mempergiatkan usaha membina ekosistem perdagangan yang lebih berdaya tahan. Ini termasuklah langkah proaktif mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuhkan hubungan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), bagi meluaskan rangkaian rakan dagangan dan membangunkan ekonomi yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran luaran.
Butiran lanjut mengenai Prestasi Perdagangan Malaysia bulan Jun 2025 dan Januari hingga Jun 2025 boleh didapati di Lampiran di bawah, yang perlu dibaca bersama dengan Nota yang mengiringi laporan ini.