SELASA, 2 JANUARI 2024, MADINAH - Impian Haji Ruslin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pak Tam, pengasas dan pemilik jenama Tuuu...Dia Pak Tam untuk menceburkan diri dalam bidang penyediaan makanan di Arab Saudi tercapai apabila telah berjaya menubuhkan restoran milik beliau di Kota Madinah, yang kini menjadi pilihan utama dan popular di kalangan jemaah umrah serta warga penduduk tempatan. 

Perkara ini dizahirkan Pak Tam sewaktu majlis pembukaan restoran tersebut yang dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan dan Daya Guna Tenaga Awam sewaktu kunjungan persendirian beliau ke Arab Saudi. Konsul Jeneral Malaysia, Jeddah, Tuan Roslan Sharif serta wakil MATRADE Jeddah turut berada bagi memberi sokongan terhadap usaha pengembangan jenama Malaysia di Arab Saudi.

Melalui ucapan beliau, Pak Tam turut mengucapkan penghargaan kepada pihak MATRADE dan agensi kerajaan lain yang terlibat secara langsung dalam memberi khidmat nasihat pasaran serta bantuan dalam merealisasikan impian tersebut.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri makanan dan minuman, Pak Tam mempunyai rekod prestasi yang mengagumkan dengan mempelbagaikan pekhidmatan syarikat termasuk servis penghantaran makanan, kedai serbaneka, kedai roti, perkhidmatan katering, perkhidmatan OEM, program latihan serta kursus profesional masakan dan yang terbaru iaitu penubuhan Dapur Pusat yang moden di Kuala Lumpur.

Kehadiran Pak Tam di Madinah merupakan salah satu contoh syarikat Malaysia membuat tanda aras baharu di Arab Saudi, menyumbang kepada permintaan pasaran dan menyokong pembangunan sektor makanan, selaras dengan Saudi Vision 2030.

Pada masa ini, restoran tersebut yang menyediakan masakan asli Malaysia seperti Nasi Lemak dan Nasi Kandar, mampu untuk memuatkan sehingga 80 pelanggan dengan ruang yang membolehkan Pak Tam untuk menampung tetamu Umrah yang ramai serta pada musim Haji.

Dengan usaha memperluaskan pencapaian mereka di Madinah, Pak Tam turut bercadang untuk menubuhkan sebuah pusat dapur katering di Makkah dengan menawarkan produk ready-to-eat (RTE) bagi memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah yang semakin meningkat, serta sedang giat berusaha untuk membuka cawangan baharu di Seoul, Korea serta Tokyo dan Osaka di Jepun menjelang Expo Antarabangsa Osaka 2025.

Dalam satu kenyataan, MATRADE Jeddah menekankan akan kepentingan bagi syarikat Malaysia untuk menceburi peluang dalam menawarkan produk makanan siap saji, khusus kepada sektor Haji dan Umrah serta segmen penyediaan perkhidmatan makanan. Pada tahun 2022, eksport pembuatan makanan Malaysia mencatatkan nilai sebanyak RM751.25 juta (AS$158.5 juta) atau 9.5% daripada jumlah eksport ke Arab Saudi yang meliputi pelbagai jenis produk makanan seperti bahan asas, konfektioneri, sos, kondimen dan minuman. MATRADE Jeddah turut menyatakan bahawa syarikat-syarikat Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk menyumbang dalam pertumbuhan pembuatan domestik serta perkhidmatan industri makanan di Arab Saudi.