MATRADE dan SIDEC Kukuhkan Kerjasama Menerusi Program Pembangunan Pengeksport Bagi Program Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) Awards 2024
Rabu, 19 JUN 2024, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengukuhkan lagi kerjasama bersama Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC), sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Kerjasama ini adalah menerusi program pembangunan kapasiti bersama peserta Program Top E-Commerce Merchant (TOP ECM) Awards 2024, satu program di bawah SIDEC bagi meraikan usahawan e-Dagang tempatan yang mempunyai ciri inovasi yang luar biasa dan jumlah pencapaian jualan serta pesanan yang tinggi.
Top ECM Awards adalah anugerah berprestij, bertujuan untuk mengiktiraf peniaga e-dagang tempatan yang berjaya, kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, usahawan yang mengambil bahagian boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengiktirafan dan peluang untuk mempertingkatkan lagi kehadiran jenama mereka dalam industri ini.
Inisiatif kerjasama ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan menerusi Rangka Tindakan Perdagangan Nasional, atau lebih dikenali sebagai National Trade Blueprint (NTBp), bagi melengkapkan sasaran dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025), dengan menekankan pembangunan pendigitalan dan kemampanan. Pada keseluruhannya, NTBp berfungsi sebagai agenda penting untuk pembangunan eksport Malaysia dan seterusnya memberi impak positif kepada negara. Hasil yang lebih tinggi daripada eksport membawa kepada lebih banyak peluang untuk menambahbaik infrastruktur dan kemudahan negara.
Program Lawatan Industri dan Sesi Taklimat & Konsultasi MATRADE bersama SIDEC telah dianjurkan pada 13 Jun 2024 di Menara MATRADE. Sesi ini telah dijalankan dengan jayanya bersama lebih kurang 100 peserta dari Program Top ECM 2024 dengan memberi bimbingan tentang peranan, perkhidmatan dan program MATRADE dalam membantu usahawan Perusahan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) untuk menerokai pasaran antarabangsa dan mendedahkan para peserta kepada maklumat peluang pasaran e-Dagang di Amerika Syarikat dan China.
Menurut YBrs. Encik Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, “Agensi kerajaan seperti MATRADE berperanan untuk membantu dan mengukuhkan PMKS dengan melengkapkan para usahawan yang terlibat di dalam sektor e-Dagang untuk berdaya saing dengan bantuan fasilitasi kesesuaian akses pasaran untuk eksport seiring dengan transformasi digital dan daya tahan digital menerusi program sebegini”.
“Dengan usaha ini, MATRADE turut berharap ia dapat memberi kesedaran kepada PMKS mengenai bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan institusi swasta yang terlibat di dalam ekosistem eksport negara,” tambah beliau.
Selain itu, program seperti ini dapat memberi peluang kepada PMKS berdaftar dengan MATRADE menjalani Export Readiness Assessment Tool (ERAT), yang merupakan satu sistem yang direka untuk syarikat mengukur tahap kesediaan atau potensi untuk mengeksport produk/perkhidmatan mereka. ERAT menilai kesediaan mengeksport sesebuah syarikat dari segi sumber eksport, kaedah pemasaran, komitmen pengurusan dan potensi produk/perkhidmatan syarikat mereka.
"Setelah mengenalpasti tahap ERAT mereka, syarikat tersebut akan didedahkan kepada pelbagai khidmat nasihat dan latihan berkaitan eksport untuk kesiapsiagaan mereka melopori pasaran global menerusi pengeksportan," katanya.