RM13.2 Bilion Potensi Pelaburan daripada Lawatan Bersejarah Perdana Menteri China ke Malaysia, Memperingati Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China
Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) pada hari ini telah memfasilitasi pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara entiti Malaysia dan China, dengan jumlah potensi pelaburan sebanyak RM13.2 bilion, bersempena dengan lawatan rasmi pertama ke Malaysia oleh Perdana Menteri Republik Rakyat China, TYT. Li Qiang. MoU tersebut mencerminkan keyakinan berterusan komuniti perniagaan China terhadap kekuatan dan kemampanan hubungan diplomatik selama 50 tahun antara Malaysia dan China, menekankan kedudukan Malaysia sebagai salah satu rakan pelaburan dan perdagangan utama China di rantau Asia Tenggara.
MoU utama melibatkan beberapa agensi di bawah MITI, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Bank Eksport-Import Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).
MoU antara MIDA dan China International Capital Corporation Limited (CICC) bertujuan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan industri, dengan fokus kepada meningkatkan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan meneroka integrasi rantaian bekalan dalam industri utama di Malaysia dan China. Kekuatan CICC dalam urus niaga rentas sempadan dan rangkaian luasnya di China melengkapi peranan strategik MIDA dalam menarik pelaburan bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030). Melalui kerjasama ini, CICC akan menyokong pelaburan asing daripada syarikat inovatif terkemuka, sekali gus memperkukuh pembangunan industri Malaysia.
MATRADE telah menandatangani MoU dengan Bank of China (Malaysia) Berhad untuk memperkukuh hubungan dengan institusi kewangan antarabangsa di samping meningkatkan akses pasaran serta pilihan pembiayaan untuk pengeksport Malaysia. Melalui MoU ini, kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian masing-masing untuk faedah kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara. Bank of China (Malaysia) Berhad, dengan rangkaian cawangannya yang luas di China, akan menjadi perantara penting bagi pengeksport Malaysia dalam membina hubungan perniagaan serta menyediakan penyelesaian kewangan.
MoU EXIM Bank Malaysia dengan Industrial and Commercial Bank of China (Malaysia) Berhad (ICBC Malaysia) bertujuan untuk memupuk dan memperkukuh hubungan kewangan dua hala. MoU tersebut menggariskan rangka kerja untuk kerjasama strategik bagi mempromosikan manfaat bersama dan memperdalam hubungan kewangan antara kedua-dua institusi. Kedua-dua bank akan secara bersama mempromosikan pembangunan perdagangan China-Malaysia dan kerjasama pelaburan melalui pelbagai platform ekonomi, perdagangan, dan pelaburan di kedua-dua negara. Di bawah program Malaysia Global Connect (MGC) EXIM Bank, mereka juga berhasrat untuk memanfaatkan rangkaian luas Kumpulan ICBC untuk komuniti perniagaan Malaysia bagi berkembang ke pasaran baharu seperti Afrika.
MoU yang lain pula dimeterai antara syarikat Malaysia dan China bagi memperkukuhkan kolaborasi dalam sektor bernilai tinggi seperti minyak dan gas, tenaga, pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian, automotif serta perkhidmatan utiliti.
Pertukaran MoU-MoU ini turut disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz dan Menteri Perdagangan Republik Rakyat China (MOFCOM), H.E. Wang Wentao.
Terdahulu, kedua-dua Menteri tersebut telah menghoskan bersama majlis makan tengah hari bersama komuniti perniagaan Malaysia dan China bagi menyambut lawatan sulung H.E. Li Qiang ke Malaysia. Majlis makan tengah hari ini juga turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penganjuran majlis ini turut dilaksanakan bersama Dewan Perniagaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).
Majlis makan tengah hari ini telah dihadiri seramai 200 tetamu yang terdiri daripada pemimpin perniagaan terkemuka, ketua industri, wakil dewan perniagaan dan pegawai kerajaan dari kedua-dua negara. Kehadiran komuniti perniagaan dari kedua-dua negara adalah bukti dinamiknya hubungan Malaysia-China, yang disokong oleh hubungan ekonomi yang kukuh dan hubungan manusia-ke -manusia.
Menteri MITI Tengku Zafrul Aziz berkata, "Lawatan oleh H.E. Li Qiang, Perdana Menteri Republik Rakyat China ke Malaysia, menandakan bab baru dalam hubungan dua hala Malaysia-China yang akan membawa lebih banyak manfaat ekonomi yang jelas kepada kedua-dua negara. Komitmen Malaysia untuk memperkukuh lagi hubungan ekenemi yang kukuh di actara kedua-dua negara adalah terletak pada pemeteraian. Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China, serta skop kerjasama ekonomi kedua-dua negara yang diperluas merangkumi Ekonomi Digital dan Pembangunan Hijau."
"Pada hari ini, kami gembira melihat semangat, kolaboratif G2G yang telah disambut baik oleh sektor, swasta kedua-dua negara, melalui pertukaran MoU bernilai RM13.2 bilion dalam pelbagai sektor bernilai tinggi. MITI berharap kolaborasi ini dapat meningkatkan ekonomi kedua-dua negara, termasuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, memperluas, perdagangan dalam sektor perkhidmatan, dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, sambil mempertingkatkan pembangunan modal insan, dan hubungan manusia-ke-manusia" lanjut Tengku Zafrul.
KEMENTERIAN PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI (MITI)
20 JUN 2024