MATRADE Anjur Hari Eksport 2024 di Enam Lokasi Bermula Julai ini
AHAD, 30 JUN 2024, KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan program Hari Eksport 2024 di enam lokasi iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak, Perak dan Selangor bermula Julai 2024.
Hari Eksport 2024 bakal berlangsung dalam masa terdekat adalah di MITC Ayer Keroh, Melaka pada 2-3 Julai 2024 dan Hotel Olive Green, Pulau Pinang pada 22-23 Julai 2024.
Sehingga kini, lebih daripada 73 peserta dari 45 syarikat Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) telah berdaftar untuk menyertai Hari Eksport Melaka 2024.
Pelancaran Hari Eksport Melaka 2024 akan dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Pengerusi MATRADE, YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBhg Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Invest Melaka, YBhg Datuk Ginie Lim.
Program ini merupakan salah satu platform bagi PMKS di Malaysia untuk mendapatkan maklumat praktikal berkenaan panduan asas mengeksport dari agensi-agensi dan badan-badan penggalakan eksport Kerajaan dan swasta.
Selain itu, PMKS juga akan didedahkan kepada bantuan-bantuan yang diberikan oleh Kerajaan serta perkhidmatan yang diberikan kepada usahawan oleh pelbagai pemain di dalam ekosistem eksport Negara untuk mereka memulakan langkah untuk mengeksport.
Hari Eksport 2024 merupakan program pembangunan pengeksport tahunan MATRADE yang diadakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri dan rakan-rakan strategik MATRADE.
Hari Eksport Melaka 2024 dianjurkan oleh MATRADE bersama Kerajaan Negeri Melaka bersama Invest Melaka.
Rakan-rakan strategik Hari Eksport Melaka 2024 adalah Capital Markets Malaysia, Affin Bank Berhad, EXIM Bank Malaysia, dan FedEX Express.
Hari Eksport Pulau Pinang 2024 pula adalah anjuran MATRADE bersama Kerajan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang dengan kerjasama rakan-rakan strategik Affin Bank Berhad, Alibaba.com, Capital Markets Malaysia, Exim Bank Malaysia serta FedEX Express.