SELASA, 2 JULAI 2024, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjalin kerjasama dengan lima buah Kerajaan Negeri untuk menganjurkan Hari Eksport 2024.

Menurut YB Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE, program Hari Eksport 2024 yang dijalankan adalah bertujuan untuk memperkasakan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia ke pasaran eksport.

“Melalui kerjasama strategik ini, MATRADE bersama-sama Kerajaan Negeri komited membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport yang boleh menjadi penggerak ekonomi, selain dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan berkualiti dari Melaka ke pasaran dunia”.

“Hari Eksport tahun ini bermula di Melaka pada 2–3 Julai 2024 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh dan bakal diadakan di beberapa lokasi lain seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak dan Perak,” tambah beliau.

Hari Eksport Penang akan diadakan pada 22-23 Julai 2024 di Hotel Olive Tree, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Program Hari Eksport 2024 akan menampilkan beberapa panelis bagi membincangkan pelbagai topik termasuk kesediaan mengeksport, peluang eksport di pasaran antarabangsa, eksport secara digital, kemudahan pembiayaan dan insurans eksport, risikan pasaran serta penglibatan dalam promosi eksport secara efektif.

Program ini akan menglibatkan sesi perkongsian pengalaman bersama pengeksport berjaya di negeri-negeri tersebut. Pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, institusi kewangan, serta organisasi sokongan perniagaan yang terlibat dengan ekosistem eksport di Malaysia akan turut membuka kaunter informasi bagi mendedahkan usahawan kepada perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan kepada syarikat PMKS.

Pelancaran Hari Eksport Melaka 2024 dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka dan disertai oleh YBhg. Datuk Ginie Lim, Ketua Pegawai Eksekuitf Invest Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, “Penganjuran Hari Eksport 2024 menggalakkan pertumbuhan usahawan pengeksport yang akan memberi sumbangan positif kepada ekonomi negara. Program ini juga merupakan satu inisiatif sokongan terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa dasar-dasar keusahawanan yang telah dibangunkan.”

Beliau turut menambah, “Dengan penganjuran program ini, MATRADE berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai bantuan yang disediakan oleh Kerajaan serta sokongan daripada organisasi-organisasi berkaitan eksport. Hal ini diharapkan dapat memberi kefahaman yang lebih baik kepada syarikat-syarikat mengenai peluang dan sumber yang tersedia untuk memajukan perniagaan mereka secara global, serta memperluaskan akses mereka ke pasaran luar negara.”

MATRADE kini disenaraikan sebagai ‘Penyedia Latihan Berdaftar HRD Corp’ dan Hari Eksport Melaka 2024 adalah program pertama di mana peserta layak untuk membuat tuntutan di bawah skim 'Boleh Tuntut HRD Corp’.

Inisiatif ini diharapkan dapat membuka peluang baharu bagi syarikat-syarikat untuk mendapatkan latihan eksport yang relevan dengan keperluan mereka dan memanfaatkan dana latihan khas daripada Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan serta daya saing syarikat-syarikat tersebut.

MATRADE sentiasa memberi komitmen untuk membimbing semua syarikat peserta untuk melengkapkan kesediaan mengeksport dalam usaha membantu syarikat PMKS ke pasaran global.

Syarikat-syarikat yang berpotensi akan dipilih untuk ke sesi bimbingan selanjutnya, iaitu *Sesi Klinik Eksport di Kuala Lumpur, sama ada di bawah MATRADE atau bersama rakan strategik. (*Tertakluk kepada syarat-syarat penyertaan yang bakal dimaklumkan).

Hari Eksport Melaka 2024 dianjurkan oleh MATRADE dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Invest Melaka. Program ini turut mendapat tajaan rakan strategik iaitu Affin Bank Berhad, Capital Markets Malaysia, EXIM Bank Malaysia dan FedEX Express Malaysia.

Maklumat lanjut berkenaan Hari Eksport 2024 boleh didapati di laman web MATRADE www.matrade.gov.my atau di media sosial MATRADEHQ.