MATRADE Anjur Siri Kedua Hari Eksport 2024 di Pulau Pinang
PULAU PINANG, 16 JULAI (SELASA) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan siri kedua Hari Eksport 2024 di Pulau Pinang bagi memperkukuhkan jumlah perdagangan dari negeri itu dengan pemain-pemain industri.
Acara tersebut akan diadakan pada 22-23 Julai di Hotel Olive Green, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan akan dihadiri oleh Pengerusi MATRADE YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, yang juga merupakan anak jati Pulau Pinang.
Hari Eksport Pulau Pinang akan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow.
Dijangka lebih 100 peserta dari syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Pulau Pinang yang terdiri daripada sektor makanan & minuman, jentera & logistik serta gaya hidup & perkhidmatan, akan berdaftar untuk mengambil bahagian dalam Hari Eksport Pulau Pinang 2024.
Pulau Pinang, yang merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, telah mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada tahun 2023, menyumbang sebanyak RM434.74 bilion (30.5%) kepada jumlah eksport Malaysia.
Setakat ini, jumlah usahawan PMKS di Pulau Pinang adalah sebanyak 958 orang dalam sektor-sektor utama termasuk makanan & minuman, perkhidmatan perniagaan & kewangan, produk kesihatan, pembinaan & alam sekitar dan elektrik & elektonik.
Orang ramai terutamanya usahawan PMKS diseru untuk menghadiri Hari Eksport 2024 di Pulau Pinang bagi mengukuhkan aktiviti eksport di negeri tersebut selain mempelajari kaedah untuk mempromosikan produk-produk yang ditawarkan oleh PMKS tempatan.
Hari Eksport Pulau Pinang dianjurkan oleh MATRADE bersama Kerajaan Negeri Pulai Pinang melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PDC).
Rakan-rakan strategik bagi Hari Eksport Pulau Pinang 2024 adalah Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia serta Maybank Islamic Berhad.
Hari Eksport seterusnya akan diadakan di Hotel Imperial di Kuching, Sarawak pada 16 Ogos dengan kerjasama di antara MATRADE dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
###
NOTA KEPADA EDITOR
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Chan Yik Sing
Ketua Komunikasi Korporat
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Tel : +6012-8053253
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Mengenai MATRADE
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan di bawah Akta MATRADE 1992 pada 1 Mac 1993 sebagai agensi promosi perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Misi MATRADE untuk mempromosikan eksport Malaysia yang membolehkan syarikat tempatan berada di barisan hadapan pasaran global. MATRADE terus meletakkan syarikat Malaysia yang berpotensi bertaraf antarabangsa dan menjadikan frasa 'Made In Malaysia' sinonim dengan maksud berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.