Hari Eksport Pulau Pinang Bantu Usahawan Negeri Tingkat Perdagangan
PULAU PINANG, 22 JULAI (ISNIN) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Hari Eksport Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 23 Julai sebagai salah satu cara untuk mempertingkatkan kebolehan eksport pemain-pemain industri negeri terutamanya daripada kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Berlangsung di Hotel Olive Green, Bayan Lepas, acara ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri pengeksport utama negara.
Acara ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow dan turut dihadiri oleh Pengerusi MATRADE YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam.
Hari Eksport Pulau Pinang dianjurkan oleh MATRADE bersama Kerajaan Negeri Pulai Pinang melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pulau Pinang (PDC), dengan kerjasama strategik Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia serta Maybank Islamic Berhad.
Dato’ Seri Reezal berkata keupayaan PMKS negeri ini menghasilkan produk-produk bertaraf antarabangsa, dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeksport utama negara.
Tambahnya, Hari Eksport Pulau Pinang diserikan dengan pelbagai program-program berkaitan eksport bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran PMKS untuk mengembangkan perniagaan merentasi sempadan negara.
"Pengeksport negeri ini mesti mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan strategi dan keperluan pasaran global dapat dipenuhi. Selain itu, sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam memudahcara dan memperkasa kapasiti pemain industri di negeri ini ke pasaran eksport wajar diberi pujian,” tambahnya.
Pulau Pinang telah mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada tahun 2023 dengan menyumbang sebanyak RM434.74 bilion ataupun 30.5% kepada jumlah eksport Malaysia.
Pulau Pinang juga dikenali sebagai 'Lembah Silikon Timur' berikutan ekosistem sektor elektrik dan elektronik yang kukuh di negeri tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata agensi ini akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menyediakan peluang kepada usahawan negeri tersebut menembusi pasaran antarabangsa.
"Para peserta program Hari Eksport ini khususnya diberi penerangan berkaitan pelbagai program pemudahcara eksport yang disediakan oleh MATRADE. Ini termasuk peluang-peluang promosi seperti Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), yang boleh mereka sertai bagi mengambil kesempatan bertemu dengan para pengimport dari luar negara, seterusnya meluaskan pasaran mereka di persada antarabangsa", tambah beliau lagi.
Hari Eksport seterusnya akan diadakan di Hotel Imperial di Kuching, Sarawak pada 16 Ogos dengan kerjasama di antara MATRADE dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
###
NOTA KEPADA EDITOR
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Chan Yik Sing
Ketua Komunikasi Korporat
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Tel : +6012-8053253
Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. / This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Mengenai MATRADE
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditubuhkan di bawah Akta MATRADE 1992 pada 1 Mac 1993 sebagai agensi promosi perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Misi MATRADE untuk mempromosikan eksport Malaysia yang membolehkan syarikat tempatan berada di barisan hadapan pasaran global. MATRADE terus meletakkan syarikat Malaysia yang berpotensi bertaraf antarabangsa dan menjadikan frasa 'Made In Malaysia' sinonim dengan maksud berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.