Prestasi Perdagangan Luar bagi Bulan Julai 2024
PERDAGANGAN DAN EKSPORT CATAT PERTUMBUHAN KUKUH DUA DIGIT #
Perdagangan Januari-Julai Cecah RM1.652 trilion, Nilai Tertinggi bagi Tempoh Tujuh Bulan Pertama. Pertumbuhan 18.3% Perdagangan Julai 2024 Kadar Terpantas dalam 21 Bulan, Tanda Pemulihan Kukuh 2024
Perdagangan Malaysia kekal kukuh pada Julai 2024, meningkat 18.3% tahun ke tahun, merupakan kadar terpantas dalam tempoh 21 bulan. Dari segi nilai, ia berjumlah RM255.88 bilion, nilai perdagangan tertinggi direkodkan sejak Oktober 2022. Eksport terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut, berkembang 12.3% kepada RM131.15 bilion manakala import naik 25.4% kepada RM124.73 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM6.42 bilion, merupakan lebihan yang ke-51 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.
Pertumbuhan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan dua digit.
Berbanding dengan Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7.6%, 4.1% dan 11.6%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama tahun 2024, perdagangan meningkat 9.8% kepada RM1.652 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, merupakan nilai perdagangan tertinggi direkodkan bagi tempoh ini. Eksport naik 5.1% kepada RM862.23 bilion dan import meningkat 15.5% kepada RM789.71 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion dicatatkan pada tempoh tersebut.
Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9% pada suku kedua tahun 2024. Pertumbuhan ketara bagi dua suku tahun berturut-turut pada tahun ini menunjukkan negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2024 yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Ini dilihat dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan membuka ruang yang lebih luas bagi peluang perdagangan.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menganggarkan jumlah perdagangan barangan dunia akan berkembang sebanyak 2.6% pada tahun 2024, satu peningkatan ketara berbanding pertumbuhan negatif 1.2% direkodkan pada tahun 2023. Ekonomi global dilihat bertambah baik dari bulan ke bulan, disumbangkan oleh peningkatan permintaan dunia, namun begitu WTO telah menekankan bahawa ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan politik berkemungkinan akan menghadkan skala pemulihan perdagangan global. MITI dan agensi akan sentiasa peka terhadap cabaran global yang tidak dijangka di mana ianya boleh mempengaruhi trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Kesemua Sektor Utama Catat Pertumbuhan Kukuh Dua Digit
Pada Julai 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5% daripada jumlah eksport mengembang 10.6% kepada RM112.08 bilion, merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum, barangan E&E serta barangan perkilangan logam.
Eksport keluaran pertanian (7.7% syer) mengembang 32.8% kepada RM10.07 bilion, pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut. Ini disumbangkan oleh peningkatan permintaan bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, yang disokong oleh peningkatan kuantiti dan harga eksport.
Eksport hasil galian (6.1% syer) mengekalkan pertumbuhan dua digit yang kedua bulan berturut-turut, meningkat 10.2% tahun ke tahun kepada RM8.04 bilion. Kenaikan ini telah dipacu oleh eksport yang kukuh bagi gas asli cecair (LNG), disumbangkan oleh pertambahan kuantiti eksport.
Barangan eksport utama pada pada Julai 2024:
- Barangan E&E, bernilai RM51.78 bilion dan merangkumi 39.5% daripada jumlah eksport, meningkat 2.6% berbanding Julai 2023;
- Keluaran petroleum, RM11.14 bilion, 8.5% daripada jumlah eksport, ↑15.6%;
- Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.65 bilion, 5.8% daripada jumlah eksport, ↑36.3%;
- Kimia dan bahan kimia, RM6.36 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, ↑9.1%; dan
- Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM5.91 bilion, 4.5% daripada jumlah eksport, ↑39.5%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing naik sebanyak 2.2%, 32.1% dan 1.1%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, eksport barangan perkilangan mengembang 4.8% kepada RM735.76 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barangan perkilangan logam. Eksport hasil galian meningkat 4.3% kepada RM62.85 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi petroleum mentah dan LNG. Sementara itu, eksport keluaran pertanian naik 7.9% kepada RM57.75 bilion disokong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Julai 2024, rakan dagang utama Malaysia adalah ASEAN, China, AS, EU dan Taiwan yang mewakili 70.2% syer daripada jumlah perdagangan Malaysia.
ASEAN – Pertumbuhan Perdagangan bagi Lima Bulan Berturut-turut
Pada Julai 2024, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 27.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 16.8% tahun ke tahun kepada RM71.07 bilion, merupakan pertumbuhan yang kelima bulan berturut-turut. Eksport meningkat secara konsisten sejak April 2024, naik 16% kepada RM40.12 bilion. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Import dari ASEAN naik 17.8% kepada RM30.95 bilion.
Pecahan Eksport ke Negara ASEAN:
- Singapura RM21.06 bilion, meningkat 18.1%, tahun ke tahun;
- Thailand RM5.56 bilion, ↑10.0%;
- Viet Nam RM4.95 bilion, ↑13.8%;
- Indonesia RM4.52 bilion, ↑9.3%;
- Filipina RM2.86 bilion, ↑39.5%;
- Brunei RM725.7 juta, ↑9.0%;
- Kemboja RM287.1 juta, ↑35.0%;
- Myanmar RM158.8 juta, ↓42.3%; dan
- Lao PDR RM6.0 juta, ↓38.3%.
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang merekodkan pertumbuhan dua digit adalah Singapura yang meningkat sebanyak RM3.23 bilion tahun ke tahun, Thailand (↑RM504.8 juta) dan Viet Nam, (↑RM601.1 juta) hasil eksport keluaran petroleum yang kukuh.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing mengembang sebanyak 9.3%, 4.3% dan 16.6%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan ASEAN meningkat 8.4% kepada RM451.02 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau ini meningkat 5.9% kepada RM260.02 bilion, dipacu oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Import dari ASEAN bertambah 12% kepada RM190.99 bilion.
China – Perdagangan Rekod Peningkatan Dua Digit bagi Empat Bulan Berturut-turut
Pada Julai 2024, perdagangan dengan China yang menyumbang 16.3% kepada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 12.6% tahun ke tahun kepada RM41.72 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang keempat bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, eksport menguncup 11.4% kepada RM14.77 bilion berikutan penyusutan permintaan bagi barangan E&E. Meskipun mengalami penyusutan,
kenaikan eksport telah dicatatkan bagi minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit serta keluaran getah. Import dari China mengembang 32.3% kepada RM26.95 bilion.
Berbanding Jun 2024, perdagangan dan import masing-masing naik sebanyak 1.5% dan 9%, manakala eksport mengurang 9.7%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan China bertambah 9.5% kepada RM275.8 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport mengurang 2.7% kepada RM105.47 bilion berikutan penyusutan eksport barangan E&E dan bijih logam dan serpihan logam. Sebaliknya, peningkatan eksport telah dicatatkan bagi barangan kertas dan palpa, LNG dan barangan perkilangan logam. Import dari China naik 18.7% kepada RM170.34 bilion.
AS – Nilai Eksport Tertinggi Direkod Setakat ini
Perdagangan dengan AS pada Julai 2024 yang merangkumi 12.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 49.4% tahun ke tahun kepada RM31.76 bilion. Eksport mengekalkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun yang kempat bulan berturut-turut, meningkat 30.9% kepada RM17.79 bilion dan merupakan nilai eksport tertinggi setakat ini. Prestasi eksport yang kukuh ini telah disokong oleh pertambahan permintaan bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari AS melonjak 82.2% kepada RM13.98 bilion.
Berbanding Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 28.8%, 14.4% dan 53.2%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan AS meningkat 23.4% kepada RM172.29 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit 14.9% kepada RM104.7 bilion disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS bertambah 39.6% kepada RM67.59 bilion.
EU – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan Dua Digit
Pada Julai 2024, perdagangan dengan EU yang menyerap 7.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia mengembang 17.5% tahun ke tahun kepada RM19.81 bilion. Eksport meningkat 14.2% kepada RM10.28 bilion, disebabkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam serta barangan perkilangan plastik. Import dari EU menokok 21.3% kepada RM9.53 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 93.1% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Jerman RM2.90 bilion, meningkat 19.2%, tahun ke tahun;
- Belanda RM2.63 bilion, ↓18.0%;
- Itali RM1.07 bilion, ↑107.0%;
- Belgium RM656.0 juta, ↑8.5%;
- Hungary RM574.4 juta, ↑262.3%;
- Perancis RM558.4 juta, ↑30.8%;
- Poland RM354.7 juta, ↑53.6%;
- Sepanyol RM346.4 juta, ↓2.5%;
- Sweden RM301.9 juta, ↑220.6%; dan
- Republik Czech RM175.8 juta, ↓20.7%.
Eksport ke pasaran utama EU yang merekodkan pertumbuhan adalah Jerman, meningkat sebanyak RM466.9 juta tahun ke tahun, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, Itali (↑RM550.7 juta, barangan perkilangan logam) dan Belgium (↑RM51.3 juta, bijih logam dan serpihan logam).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 14.2%, 17.5% dan 10.8%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan EU naik 6% kepada RM125.87 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport meningkat 2.1% kepada RM66.36 bilion disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, barangan makanan diproses, keluaran getah serta barangan E&E. Import dari EU bertambah 10.9% kepada RM59.51 bilion.
Taiwan – Pertumbuhan Ketara Eksport pada Julai
Pada Julai 2024, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 6% daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 63.4% kepada RM15.38 bilion berbanding Julai 2023. Eksport meningkat dengan ketara sebanyak 55% kepada RM5.32 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG. Import dari Taiwan melonjak 68.2% kepada RM10.05 bilion.
Berbanding Jun 2024, perdagangan dan import masing-masing mengembang sebanyak 2.2% dan 12.5%, manakala eksport menurun 12.9%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan Taiwan meningkat 35% kepada RM98.25 bilion berbanding tujuh bulan pertama tahun 2023. Eksport melonjak 45.8% kepada RM36.17 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG. Import dari Taiwan naik 29.4% kepada RM62.08 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Julai 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 64.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 12.6% tahun ke tahun kepada RM164.72 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 7.2% kepada RM87.9 bilion manakala import mengembang 19.7% kepada RM76.82 bilion.
Peningkatan eksport telah direkodkan ke Republik Korea (ROK) yang naik sebanyak 7.8% tahun ke tahun kepada RM4.84 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG, Mexico (↑48.1% kepada RM2.13 bilion, keluaran petroleum) dan Turkiye (↑21.1% kepada RM1.83 bilion, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit).
Eksport ke India meningkat 17.3% kepada RM4.72 bilion dan Kanada (↑116.6% kepada RM741.6 juta), disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Australia mengembang 2.5% kepada RM3.99 bilion, Chile (↑69.8% kepada RM90.8 juta) dan Peru (↑59.2% kepada RM67.5 juta), dipacu oleh kenaikan permintaan bagi kimia dan bahan kimia.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing naik sebanyak 4.9%, 0.9% dan 9.9%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA mengembang 6.7% kepada RM1.087 trilion, eksport meningkat 2.2% kepada RM588.63 bilion dan import naik 12.5% kepada RM498.17 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Prestasi Import
Jumlah import pada Julai 2024 meningkat 25.4% tahun ke tahun kepada RM124.73 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 76.3% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM69.11 bilion atau 55.4% daripada jumlah import, melonjak 41.2% tahun ke tahun, disumbangkan oleh kenaikan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM15.11 bilion atau 12.1% daripada jumlah import, mengembang 44.4%, berikutan peningkatan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM10.97 bilion atau 8.8% daripada jumlah import, mengembang 25.5%, hasil pertambahan import barangan makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding Jun 2024, import pada Julai 2024 menokok 11.6%. Import barangan perantaraan, modal dan penggunaan masing-masing naik sebanyak 13.6%, 26% dan 18.6%.
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2024, import bertambah 15.5% kepada RM789.71 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan perantaraan naik 24% kepada RM430.82 bilion, barangan modal (↑36.5% kepada RM92.06 bilion) dan barangan penggunaan (↑16.8% kepada RM68.31 bilion).