SHAH ALAM, 4 SEPTEMBER (Rabu) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Hari Eksport Selangor pada 4-5 September 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bagi memperkukuhkan status negeri tersebut sebagai negeri penyumbang utama eksport negara selain dikenali sebagai hab terpenting bagi sektor pembuatan merentasi pelbagai industri.

Ahli Lembaga Pengarah Kanan MATRADE, Dato’ Hazimah Zainuddin berkata "Selangor adalah sebuah negeri yang penting kerana ia adalah penyumbang terbesar jumlah perdagangan di Malaysia pada tahun 2023 dengan nilai sebanyak RM769.90 bilion atau 29.2% dari jumlah keseluruhan iaitu sebanyak RM1.652 trilion. Manakala dari segi eksport, Selangor merupakan negeri ketiga terbesar, dengan nilai eksport sebanyak RM2.637 trilion atau 23.3%”.

“Penganjuran Hari Eksport Selangor 2024 diharapkan dapat mempertingkatkan jumlah perdagangan negeri tersebut serta mewujudkan lebih banyak syarikat yang terbabit dalam perniagaan eksport”. tambahnya.

Berdasarkan Pengkalan Data Pengeksport Malaysia (MER), sehingga Ogos 2024, bilangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri Selangor mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 6,927 atau 50.3% daripada jumlah keseluruhan 13,774 syarikat Malaysia yang berdaftar dengan MATRADE

Selangor juga merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM406.07 bilion atau 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023 berbanding 25.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Hari Eksport Selangor dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Mohd Najwan bin Halimi dan turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah Kanan MATRADE, Dato’ Hazimah Zainuddin serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS, Tuan Hj Ir Md Kamarzan bin Md Rais.

Program Hari Eksport Selangor adalah anjuran bersama MATRADE, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Turut terlibat sebagai rakan strategik penganjuran program ini adalah Alibaba.com, Capital Markets Malaysia, Affin Bank, Hong Leong Islamic Bank dan FedEx.

Hari Eksport seterusnya akan diadakan di Ipoh, Perak dan di Kuala Lumpur pada bulan November 2024.