Belanjawan 2025 : Komitmen MATRADE Memperkukuh Perdagangan Luar Negara
KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER 2024 (SELASA) – Susulan daripada pembentangan Belanjawan 2025 oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 18 Oktober 2024 lalu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melihat ia sebagai satu rencana Belanjawan yang cukup teliti dan terangkum khususnya dalam agenda memperkukuh perdagangan luar negara.
MATRADE menerima peruntukan untuk terus menggalas komitmen menerajui pertumbuhan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran antarabangsa. Belanjawan yang diperuntukkan ini dapat terus membantu MATRADE sebagai agensi galakan eksport negara untuk terus membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk kekal kompetitif di pasaran luar.
Pengerusinya, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan belanjawan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri adalah sejajar dengan fungsi teras MATRADE bagi menyokong peranan utama dalam membangun ekonomi negara menerusi eksport. Inisiatif Belanjawan 2025 yang diumumkan bukan sahaja berupaya memperkukuh pembangunan kapasiti dan kemampanan syarikat, malah turut menyokong aktiviti galakan eksport yang mampu mendorong potensi eksport yang lebih tinggi.
“MATRADE kekal komited dalam usaha sebagai peneraju pembangunan eksport Malaysia dan melonjakkan ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi. Belanjawan ini juga dilihat dapat membantu MATRADE dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara perdagangan utama di rantau ini, selain meningkatkan sumbangan perdagangan kepada ekonomi negara.”
“Dalam memastikan Belanjawan 2025 ini dijayakan sepenuhnya, MATRADE akan memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak melalui Kerjasama Rentas Agensi yang diberi peruntukan serta menyediakan sokongan eksport kepada syarikat-syarikat Malaysia. MATRADE percaya bahawa pembangunan ekosistem eksport memerlukan penglibatan pelbagai pihak dan beriltizam untuk menjadi pemudah cara berkesan dalam memastikan nilai eksport terus berkembang di samping penyertaan lebih banyak syarikat tempatan di dalam pasaran global.”
SOKONGAN PASARAN EKSPORT - MARKET DEVELOPMENT GRANT (MDG)
MATRADE turut menyambut baik peruntukan RM40 juta yang akan disalurkan melalui geran bayaran balik (Market Development Grant- MDG) bagi membantu pengeksport Malaysia khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk terus terlibat di dalam aktiviti promosi eksport sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Pemberian geran ini telah dapat membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk mengakses pasaran sedia ada dan pasaran baharu dengan lebih mudah terutamanya bagi pasaran Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah. Selain daripada itu, pemberian geran ini dapat menggalakkan pertumbuhan eksport negara dan meningkatkan penjenamaan produk dan perkhidmatan keluaran negara di pasaran luar dengan tumpuan terhadap sektor yang mempunyai pertumbuhan tinggi serta bernilai tinggi (high growth, high value) bagi melonjakkan nilai eksport negara dalam industri yang pelbagai.
PMKS yang mengambil bahagian di dalam pameran perdagangan antarabangsa di luar negara boleh memohon geran sehingga RM25,000 manakala penyertaan di dalam misi promosi perdagangan di mana padanan perniagaan (B2B) diadakan boleh memohon geran sehingga RM10,000. Had maksimum untuk tuntutan balik di bawah Geran Pembangunan Pasaran (MDG) telah ditingkatkan daripada RM200,000 ke RM300,000 bagi setiap syarikat PKS yang menyertai sebarang program promosi eksport yang dibenarkan di bawah MDG.
SOKONGAN PASARAN EKSPORT – PROGRAM SYARIKAT MID-TIER
Dalam soal pembangunan kapasiti eksport, Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) merupakan program sokongan bagi memudahkan syarikat mid-tier meningkatkan daya saing dan keupayaan eksport di peringkat global, telah dilancarkan oleh MATRADE sejak tahun 2014. Sehubungan dengan itu, MATRADE mengalu-alukan peruntukan dana RM1 bilion yang disediakan melalui Khazanah Nasional untuk syarikat mid-tier melalui kerjasama strategik bagi tujuan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.
Peruntukan ini juga pastinya dapat membantu syarikat mid-tier meneroka peluang pasaran global merentasi sempadan dan memperluas pasaran eksport, sejajar dengan matlamat Khazanah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan meningkatkan daya saing syarikat-syarikat mid-tier Malaysia. Dengan kerjasama ini, MATRADE boleh menyediakan pembiayaan tambahan, bimbingan perniagaan serta akses kepada pasaran antarabangsa.
SOKONGAN PASARAN EKSPORT – EXIM BANK
Bagi meningkatkan daya saing dan keupayaan mengeksport syarikat-syarikat Malaysia, MATRADE akan bekerjasama dengan EXIM Bank bagi memanfaatkan peruntukan RM750 juta yang disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport. Hal ini dapat meningkatkan nilai pembiayaan yang dapat dituntut oleh syarikat-syarikat Malaysia terutamanya PMKS bagi meneroka potensi dan pasaran baharu eksport.
Kerjasama strategik di antara MATRADE dan EXIM Bank dijangka akan dapat melonjak potensi eksport negara di mana syarikat-syarikat Malaysia dapat menuai manfaat melalui pembangunan kapasiti bagi mewujudkan syarikat yang mampan serta berdaya tahan, future-proof atau kalis terhadap tantangan masa hadapan.
Bagi terus kekal relevan dalam pasaran global, syarikat-syarikat Malaysia akan dipersiapkan bagi memantapkan promosi penjenamaan mereka melalui penyertaan di dalam aktiviti promosi eksport di luar negara. Hal ini sekaligus akan membantu mempelbagaikan pasaran eksport yang dapat diteroka oleh pemain industri dan mendedahkan mereka ke pasaran yang lebih luas.
PEMBANGUNAN DAN PENGGALAKAN INDUSTRI HALAL NEGARA
MATRADE juga mengalu-alukan peruntukan dana RM20 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan industri halal bagi meningkatkan kapasiti syarikat-syarikat Halal Malaysia dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian sasaran nilai eksport Halal di bawah Pelan HIMP menjelang tahun 2030.
Industri Halal telah dikenal pasti sebagai sektor strategik dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Sebagai salah satu sektor yang memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara, ia dijangka akan mencapai nilai USD5.0 trilion menjelang tahun 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5%. Selain daripada itu, nilai eksport Halal juga disasarkan akan mencatatkan peningkatan bagi mencapai nilai eksport sebanyak RM75.2 bilion pada tahun 2030.
Dalam hal berkaitan, cadangan penggabungan beberapa entiti Kerajaan termasuklah MATRADE dan HDC dilihat sebagai satu usaha Kerajaan mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan produktiviti secara bersepadu khususnya dalam usaha memperkukuh industri dan jenama halal negara.
MATRADE juga akan terus menyokong usaha serta inisiatif yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2025 Kerajaan MADANI pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di samping aktiviti penggalakan perdagangan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah teraju YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz bagi memastikan pasaran eksport negara kekal berdaya saing serta akhirnya memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.