KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER 2024 (RABU) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini menganjurkan Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 bertujuan memperkasakan lebih banyak syarikat di Kuala Lumpur menjadi pengeksport. Program yang dijalankan di Menara MATRADE Kuala Lumpur ini dijangka akan menarik minat usahawan menceburi perniagaan eksport. 

Pelbagai program khusus serta fasilitasi eksport diadakan pada Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 6 hingga 7 November bagi membantu syarikat-syarikat di Kuala Lumpur terutamanya perusahaan kecil dan sederhana mendalami selok-belok mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

Selain itu, syarikat-syarikat peserta turut didedahkan dengan ketersediaan eksport dalam pengisian menarik yang dikongsikan seperti penetapan harga dan kontrak eksport, manfaat pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas dan dokumen eksport, asas penyelidikan pasaran serta peluang pasaran antarabangsa. 

Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kuala Lumpur merupakan antara destinasi yang penting dalam sektor eksport negara memandangkan ketersambungan eksport wilayah tersebut ke negara rakan dagangan utama seperti China, Amerika Syarikat, Indonesia dan Singapura pada tahun lepas.

“MATRADE ingin memperluaskan produk eksport utama, selain meningkatkan jumlah syarikat dalam daftar pengeksport Malaysia (MER) terutamanya  dari Kuala Lumpur bagi memperkukuhkan nilai dagangan negara pada masa akan datang,” tambahnya.

Antara produk eksport utama Malaysia dari Januari sehingga September 2024 adalah barangan elektrik dan elektronik (39.2%), keluaran petroleum (8.9%), minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (5.0%), kimia & bahan kimia (5.0%) serta jentera, kelengkapan & peralatan (4.5%).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, YBrs. Encik Mansor Shah Wahid berkata sebanyak 119 syarikat dari Kuala Lumpur telah mendapat bantuan di bawah program khas MATRADE.

Bagi tujuan latihan, MATRADE turut menyediakan pelbagai program khas untuk memberi sokongan kepada syarikat-syarikat tempatan dalam usaha meningkatkan kemampuan eksport.

“MATRADE berharap Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan di kalangan usahawan di sini untuk untuk mempelbagaikan produk serta mula mengeksport ke luar negara," tambah beliau.

Menurutnya, sebanyak 2,654 syarikat di Wilayah Kuala Lumpur telah berdaftar dengan MATRADE sehingga Oktober 2024 dan jumlah ini mencatatkan sebanyak 18.34 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat Malaysia yang berdaftar iaitu 14,464.

Bagi tempoh tempoh Januari - Oktober 2024, sebanyak 35 program latihan telah dijalankan yang melibatkan 394 penyertaan syarikat dan sebanyak 53 program jangkauan pengeksport telah dijalankan dan berjaya membantu 4,268 syarikat di Wilayah Kuala Lumpur.

Rakan-rakan strategik bagi Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 adalah Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta S&P Global Market Intelligence.

Acara ini merupakan siri terakhir bagi program Hari Eksport tahun 2024, selepas kejayaan penganjurannya di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang telah dihadiri oleh lebih daripada 1,000 peserta. Hari Eksport akan diteruskan pada tahun 2025 di lain-lain negeri yang akan diumumkan kelak.