MEEC DI MATRADE: LOKASI IDEAL UNTUK PROMOSI PRODUK & PERKHIDMATAN MALAYSIA

KHAMIS, 30 DISEMBER, 2015, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai agensi promosi eksport negara menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk menjadikan Pusat Pameran Eksport Malaysia atau MEEC di Menara MATRADE sebagai lokasi untuk mempamerkan produk mereka kepada pembeli global serta pusat padanan perniagaan dengan pengimport luar negara.

MEEC adalah satu-satunya pusat pameran ekslusif yang direka di Malaysia bagi pengeksport tempatan. Pusat pameran ini yang diselenggarakan MATRADE, mempunyai keluasan 4,500 meter persegi dan mempamerkan pelbagai produk lebih dari 500 syarikat. Ia meliputi 30 sub-sektor seperti produk logam & mesin, elektrik & elektronik, automotif & bahagian auto, makanan & minuman, teknologi hijau, produk getah, bahan binaan, plastik & pembungkusan, produk konsumer bergerak pantas (FCMG) termasuk produk gaya hidup dan sektor perkhidmatan.

Selain menyediakan ruang pameran, MEEC juga adalah pusat bagi penyumberan produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia oleh pengimport dari luar negara. Aktiviti padanan perniagaan bersama pembeli antarabangsa ini dijalankan melalui International Sourcing Programme atau INSP. Setakat bulan Oktober 2015, sebanyak RM165.17 juta hasil jualan telah berjaya dijana melalui inisiatif INSP.

Pusat pameran yang berfokus kepada eksport ini menerima kunjungan daripada pembeli asing dan delegasi perdagangan dari dalam dan luar negara. Sehingga bulan Disember 2015, MEEC telah menerima kunjungan lebih daripada 6,200 orang dari pelbagai syarikat dan organisasi asing serta individu terkenal antaranya Barclays Bank dari Uganda, delegasi perniagaan dari Al-Westa, Oman, kumpulan runcit terkemuka di Eropah seperti Home Retail Group (United Kingdom) dan Metro Group (Germany) serta pakar pemasaran tersohor dunia Philip Kotler.

Philip Kotler yang ditemui semasa lawatan beliau berkata, “Pusat pameran ini adalah antara yang terbaik di dunia pernah saya lawati.”

Terletak di Tingkat 2, Menara MATRADE di Kuala Lumpur, MEEC melengkapkan fasiliti-fasiliti fizikal MATRADE yang lain seperti Pusat Informasi Perniagaan (BIC) dan Pusat Integrasi Eksport (ICE).