SABTU, 13 OGOS, 2016, JELI: Komuniti usahawan Jeli telah dipilih sebagai kumpulan perintis untuk Program Inkubator Jaguh Eksport ASEAN (Program IJEA) anjuran agensi promosi eksport negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Persatuan Usahawan Muda ASEAN (MAAYE). Program inkubator ini dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) YB Dato’ Mustapa Mohamed di Pondok Moden, Bukit Bunga, di sini hari ini.

Kumpulan perintis dari Jeli dipilih untuk diserapkan dalam Program IJEA berikutan lokasi Jeli yang strategik dan adanya pergerakan aktif dalam aktiviti eksport rentas sempadan. Tambahan, Jeli juga mempunyai kelompok usahawan mikro yang ramai - sekurang-kurangnya 700 pengusaha mikro berstatus Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari sektor pertanian, penternakan, pembuatan, runcit, gaya hidup dan makanan. Kawasan ini juga sudah dipersiapkan dengan pelbagai infrastruktur fizikal seperti lebuhraya, fasiliti tenaga, ICT, pembangunan komersial dan logistik seperti Kompleks CIQ Bukit Bunga (pintu sempadan ke Thailand) – yang kesemuanya mewujudkan persekitaran kondusif untuk eksport.

Selain itu, terdapat juga infrastruktur modal insan seperti institusi pendidikan dan pentadbiran yang menjadikan Jeli sebuah lokasi berpotensi tinggi dalam eksport secara rentas sempadan ke pasaran ASEAN yang bersaiz 625 juta orang.

Program IJEA telah dimeterai pada 29 Julai lalu berikutan satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipersetujui MATRADE dan MAAYE di Karnival Usahawan Muda ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur. Program inkubator yang berteraskan eksport ini adalah yang pertama seumpamanya untuk usahawan di kawasan pedalaman.

Dengan objektif mempersiapkan usahawan mikro ke arah pengantarabangsaan dan pengembangan perniagaan luar bandar ke pasaran bebas seperti ASEAN, Program IJEA memberi penekanan terhadap:

• Amalan inovasi, kreativiti & kepenggunaan teknologi digital
• Model Perniagaan yang berinovasi, kreatif & berdaya saing tinggi
• Sifat celik IT & kemampuan mengaplikasikan pengetahuan digital dalam perniagaan
• Kerjasama awam-swasta melibatkan bakat-bakat muda

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Dzulkifli Mahmud, inisiatif ini adalah sejajar dengan agenda Komuniti Ekonomi ASEAN dalam membangunkan ekonomi serantau melalui perusahaan mikro. Pengenalan program ini juga menandakan Malaysia telah mengambil langkah proaktif sebagai anggota negara ASEAN dalam merealisasikan agenda ini.

“Program ini akan membantu usahawan di kawasan pedalaman memahami selok belok eksport dan pengetahuan yang akan diperolehi akan membantu perniagaan mereka menjadi sebahagian daripada rantaian penyumberan global,” kata Dato’ Dzulkifli.

Program bimbingan usahawan ini juga akan melihatkan sesi latihan yang pragmatik dan praktikal melalui kaedah penyampaian ilmu yang mudah difahami. Antara topik yang terlibat adalah risikan pasaran, maklumat tarif dan halangan bukan tarif, penjenamaan, pemasaran, pembungkusan dan perhubungan media. Di akhir tempoh dua tahun program ini, MATRADE dan MAAYE menyasarkan untuk merekod sebanyak 10 kisah kejayaan eksport di kalangan usahawan yang dilatih dalam Program IJEA.

“Program ini akan dapat meningkatkan daya saing dan memupuk kepada pembentukan komuniti perniagaan yang lebih produktif. Inisiatif ini akan mampu meningkatkan kualiti hidup bukan sahaja keluarga masing-masing tetapi komuniti tersebut secara keseluruhan,” kata Dato’ Dzulkifli.

Menurut Pengasas MAAYE, Tuan Syed Nabil Al Jeffri 70 peratus perniagaan di Malaysia dianggarkan berstatus mikro dan berlokasi di kawasan pedalaman. “Rakyat di Malaysia amat bertuah kerana dapat menikmati infrastruktur luar bandar yang baik dan ini mewujudkan persekitaran yang sesuai dalam pembentukan usahawan mikro yang berorientasikan eksport ke pasaran ASEAN. Tambahan, hasil usaha rundingan MITI dengan Komuniti Ekonomi ASEAN, tariff untuk eksport ke ASEAN sudah pun hampir menjadi 0 peratus.

“Pendekatan yang wajar seperti program ini akan menjadi titik permulaan buat usahawan kawasan pedalaman untuk mengaplikasikan teknologi, inovasi dan kreativiti masing-masing untuk menjadi IKS yang lebih berdaya saing dan mampan,” tambah Tuan Syed Nabil.

Majlis pelancaran yang berlangsung hari ini turut dihadiri warga Gabungan Usahawan Parlimen Jeli dan penduduk sekitar Jeli.