MATRADE ANJUR PROGRAM MERAKYATKAN EKSPORT DI BESERAH

AHAD, 4 SEPTEMBER, 2016, BESERAH: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Program Keusahawanan Dari Desa ke Pasaran Dunia (PKDDPD) sebagai salah satu usaha badan itu untuk untuk ‘merakyatkan’ eskport. Program satu hari ini adalah usahasama antara Persatuan Kebajikan anak Beserah di Kuala Lumpur dan Selangor (PKAB).

Inisiatif ini adalah salah satu acara yang diletakkan bawah Kempen Beyond Nations yang telah dilancarkan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 1 September 2016. PKDDPD yang julung kali diadakan di Beserah, Pahang telah dilancarkan hari ini oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad di Jabatan Pendidikan Negeri, Beserah, Kuantan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Dzulkifli Mahmud, Beserah dipilih sebagai lokasi untuk PKDDPD berikutan latar belakang Beserah yang unik dan kondusif untuk pembangunan usahawan tempatan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).  Program ini dihadiri lebih kurang 500 usahawan dari pelbagai jenis perniagaan. Antara agenda utama acara ini ialah penerangan tentang peluang-peluang perniagaan antarabangsa dan persediaan untuk menjadi juara global kepada usahawan-usahawan di Beserah.

Selain disokong Kerajaan Pahang, program keusahawanan ini juga telah mendapat kerjasama daripada badan-badan agensi kerajaan lain seperti SME Bank, SIRIM, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, East Coast Economic Region, Majlis Amanah Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang

“Program ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam bidang eksport di kalangan PKS tempatan. Selain itu, inisiatif ini adalah penting dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan eksport PKS daripada 17.6% kepada 23% menjelang tahun 2020,” kata Dato’ Dzulkifli.

Seiring dengan objektif Kempen Beyond Nations untuk merakyatkan eksport sebagai salah satu budaya perniagaan, PKDDPD membantu meletakkan fokus komuniti perniagaan Malaysia ke kawasan luar bandar di Pahang sebagai lokasi menjana peluang eksport dan pelaburan.

Antara lokasi utama di Pahang yang berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara ialah Kawasan Perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan. Lokasi-lokasi ini mampu untuk memberi peluang kepada penduduk di Beserah untuk menjalankan aktiviti jual beli dan dagangan dan akan bertindak sebagai enjin modal insan untuk komuniti Beserah – melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pembangungan infrastruktur yang mampan.

Antara produk eksport utama PKS Beserah adalah bekas berasaskan plastik, plat, filem, produk makanan berasaskan ikan dan makanan tradisional. Manakala, destinasi utama eksport untuk usahawan Beserah adalah pasaran Eropah, Republik Rakyat China, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Thailand.

Beserah terletak di lokasi yang strategik dengan pelbagai infrastruktur yang menyokong aktiviti perdagangan dan pelaburan. Antaranya adalah Pelabuhan Kuantan yang merupakan gerbang utama bagi perdagangan di rantau Asia Pasifik dan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan sebuah pelabuhan komersial yang terletak di Tanjung Gelang, Kuantan.

Malaysian-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang terletak berdekat dengan Beserah juga dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 5,500 serta dapat menarik ramai pelabur dalam pelbagai industri.

Bagi industri Maritim pula, Kuantan Slipway yang berpangkalan di Tanah Putih, Kuantan (xx jam dari Beserah) dilihat sebagai kawasan yang berpotensi dalam mengembangkan lagi pembinaan kapal terutamanya di Laut China Selatan dan Teluk Thailand. Industri ini dimiliki sepenuhnya oleh Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PERNEPA) dan diuruskan oleh PERNEPA Engineering & Maritime Services Sdn Bhd.

Beserah adalah sebuah desa nelayan dan dikenali sebagai pengeluar dan pembekal berbagai produk hasil dari laut antaranya termasuklah ikan masin, ikan bilis, keropok dan tangkapan ikan-ikan segar yang telah menjadi sumber pendapatan buat penduduk di sana. Dalam usaha membudayakan eksport di kalangan rakyat, produk hasil laut ini juga boleh diadaptasikan sebagai sebahagian daripada aktiviti eksport buat usahawan Beserah.