Trade Performance 2019

PRESTASI PERDAGANGAN 2019

Lebihan Dagangan ke-22 Tahun Berturut-turut

Pada tahun 2019, lebihan perdagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua digit selama 3 tahun berturut-turut, meningkat sebanyak 11% kepada RM137.39 bilion berbanding RM123.78 bilion pada 2018. Ini adalah lebihan dagangan Malaysia terbesar sejak 2009 dan merupakan yang ke-22 tahun berturut-turut.

Sejajar dengan permintaan global yang lemah di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberansangkan, jumlah perdagangan menyusut 2.5% kepada RM1.835 trilion. Eksport mencatatkan penurunan secara marginal sebanyak 1.7% kepada RM986.4 bilion, berbanding tahun sebelumnya manakala import berkurang 3.5% kepada RM849.01 bilion.

Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis, Thailand dan Jepun. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Kemboja, Mexico dan United Kingdom (UK).

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Disember 2019 dan Januari - Disember 2019

 

Lebihan Dagangan Januari-November Tertinggi Sejak 2009

Lebihan dagangan Malaysia pada bulan Januari hingga November 2019 bernilai RM124.74 bilion, meningkat sebanyak 10.6% berbanding RM112.82 bilion yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang direkodkan untuk tempoh Januari hingga November sejak 2009.

Berlatarbelakangkan keadaan ekonomi global yang mencabar dan ketegangan perdagangan yang berterusan, jumlah perdagangan Malaysia sejak 11 bulan yang lalu menyusut 3% kepada RM1.675 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis, Jepun dan Thailand. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina dan United Kingdom (UK). Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 2.1% kepada RM899.93 bilion dan import berkurang 3.9% kepada RM775.19 bilion.

Jumlah perdagangan pada November 2019 menurun 4.6% tahun ke tahun kepada RM155.06 bilion. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Thailand, Taiwan dan Perancis manakala peningkatan perdagangan dicatatkan dengan China, AS, UAE dan UK. Eksport berjumlah RM80.8 bilion, menyusut 5.5% dan import bernilai RM74.26 bilion, menurun 3.6%.

Lebihan dagangan Malaysia pada November 2019 bernilai RM6.54 bilion, turun 23.1% tahun ke tahun berbanding RM8.5 bilion yang dicatatkan pada November 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-265 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Berbanding Oktober 2019, import Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.4% manakala eksport, jumlah perdagangan dan lebihan dagangan masing-masing menyusut 10.8%, 5.4% dan 62.3%.


Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : November 2019 dan Januari - November 2019

Lebihan Dagangan Januari-September 2019 Tertinggi dalam Masa Sedekad

Lebihan dagangan Malaysia pada Januari hingga September 2019 bernilai RM100.86 bilion, meningkat 15.3% berbanding RM87.47 bilion pada tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan Januari-September yang tertinggi dicatatkan sejak 10 tahun yang lalu.

Sejajar dengan permintaan luar yang lemah dan persekitaran global yang mencabar, jumlah perdagangan pada 9 bulan pertama tahun 2019 menyusut 2.2% kepada RM1.356 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis dan Jepun. Peningkatan perdagangan walau bagaimanapun direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi dan Filipina. Eksport menurun 1.1% kepada RM728.52 bilion manakala import berkurang 3.3% kepada RM627.66 bilion.

Jumlah perdagangan bernilai RM147.07 bilion pada September 2019, berkurang 2.7% tahun ke tahun. Pengurangan perdagangan telah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Taiwan, Australia, Thailand dan Belanda. Namun begitu, peningkatan perdagangan direkodkan dengan China, India, Republik Korea (ROK), AS dan Arab Saudi. Eksport menurun 6.8% kepada RM77.7 bilion. Import berjumlah RM69.37 bilion, 2.4% lebih tinggi berbanding September 2018.

Lebihan dagangan Malaysia pada September 2019 bernilai RM8.34 bilion, menyusut 46.5% berbanding September 2018 dan mencatatkan lebihan dagangan yang ke-263 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pengurangan 3.1%, 4.5%, 1.6% dan 23.5%.

Jumlah perdagangan pada suku ketiga (S3) tahun 2019 menyusut 3.7% kepada RM460.53 bilion berbanding S3 2018. Eksport pada suku ini bernilai RM247.02 bilion, 1.9% lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan import menurun 5.8% kepada RM213.51 bilion. Lebihan dagangan bagi S3 2019 merekodkan peningkatan dua digit 33.3% kepada RM33.51 bilion berbanding RM25.14 bilion yang dicatatkan pada S3 2018.

Berbanding suku kedua (S2) 2019, jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing naik sebanyak 0.01%, 0.6% dan 10.2%, manakala import turun 0.7%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2019 dan Januari - September 2019

Nilai Eksport Bulanan Tertinggi Bagi Tahun 2019

Eksport Malaysia pada Oktober 2019 bernilai RM90.59 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi direkodkan bagi tahun 2019. Eksport menyusut 6.7% tahun ke tahun disebabkan oleh kesan nilai asas yang tinggi sebanyak RM97.12 bilion pada Oktober 2018. Peningkatan eksport direkodkan ke Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia manakala eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Australia, China, Jepun, Thailand dan India.

Jumlah perdagangan bernilai RM163.86 bilion, berkurang 7.6% dan import berjumlah RM73.27 bilion, menurun 8.7% berbanding Oktober 2018. Lebihan dagangan pada Oktober 2019 bernilai RM17.33 bilion, meningkat 2.8% berbanding RM16.85 bilion yang dicatatkan pada Oktober 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-264 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan lebihan dagangan bulanan tertinggi direkodkan setakat ini.

Berbanding September 2019, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 11.4%, 16.6%, 5.6% dan 107.4%.

Jumlah perdagangan bagi 10 bulan pertama tahun 2019 bernilai RM1.52 trilion, menyusut 2.8%. Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 1.8% kepada RM819.13 bilion. Eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Hong Kong SAR, Australia, Jepun, Indonesia dan China. Eksport yang lebih tinggi pula dicatatkan ke Taiwan, AS, India dan Filipina. Import berkurang 3.9% kepada RM700.93 bilion. Selain itu, lebihan dagangan berkembang 13.3% kepada RM118.2 bilion dan mencatatkan lebihan dagangan Januari-Oktober yang tertinggi sejak tahun 2009.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Oktober 2019 dan Januari - Oktober 2019

Lebihan Dagangan Kekal Melepasi Nilai RM10 Bilion

Lebihan dagangan Malaysia pada Ogos 2019 bernilai RM10.92 bilion, melonjak 655.2% berbanding Ogos 2018 dan mencatatkan lebihan dagangan yang ke-262 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Eksport menyusut 0.8% tahun ke tahun kepada RM81.36 bilion. Pengurangan eksport telah direkodkan ke Hong Kong SAR, Australia, Taiwan, China, New Zealand, Republik Korea (ROK) dan ASEAN. Sementara itu, peningkatan eksport dicatatkan ke Bangladesh, India, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Import berjumlah RM70.43 bilion, penyusutan sebanyak 12.5% berbanding Ogos 2018. Jumlah perdagangan bernilai RM151.79 bilion, menurun 6.6% tahun ke tahun.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pengurangan 6.1%, 7.5%, 4.4% dan 23.5%.

Pada 8 bulan pertama 2019, jumlah perdagangan bernilai RM1.209 trilion, mengurang 2.1% berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport berjumlah RM650.81 bilion, penurunan marginal 0.4% manakala import menyusut 4% kepada RM558.26 bilion. Lebihan dagangan meningkat 28.7% kepada RM92.55 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Ogos 2019 dan Januari - Ogos 2019