Nilai Eksport Tertinggi Direkodkan Bagi Bulan Mei

Perdagangan Malaysia pada Mei 2019 berkembang 2% kepada RM159.21 bilion berbanding Mei 2018. Pertumbuhan ini disokong oleh kenaikan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Filipina dan Thailand.

Eksport naik 2.5% kepada RM84.15 bilion, merupakan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Mei. Import tumbuh 1.4% kepada RM75.06 bilion. Pertumbuhan eksport yang lebih pantas berbanding import telah menghasilkan lebihan dagangan yang tinggi sebanyak RM9.08 bilion, melonjak 11.9% berbanding Mei tahun lepas. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-259 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 1% manakala jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menurun sebanyak 0.2%, 1.2% dan 16%.

Pada tempoh 5 bulan pertama tahun 2019, jumlah perdagangan tumbuh sebanyak 0.1% kepada RM753.88 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport meningkat 0.3% kepada RM405.36 bilion manakala import menguncup 0.3% kepada RM348.52 bilion. Lebihan dagangan pada tempoh ini berkembang 4.3% kepada RM56.85 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Mei 2019 dan Januari - Mei 2019