Eksport, Import dan Jumlah Perdagangan Mencatatkan Pertumbuhan Kukuh bagi 11 Bulan Berturut-turut

Eksport kekal kukuh pada September 2017, mencatatkan pertumbuhan dua-digit sebanyak 14.8% kepada RM78.26 bilion berbanding September 2016.  Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2017, eksport melonjak 21.3% kepada RM690.25 bilion. Berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan setakat ini, unjuran pertumbuhan eksport untuk keseluruhan tahun 2017 sebanyak 16.6% yang dikeluarkan dalam Laporan Ekonomi 2017/2018 dilihat akan dapat dicapai. Pencapaian ini seterusnya akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang dianggar akan tumbuh di antara 5.2% dan 5.7% pada tahun 2017.

Di samping itu, dengan penekanan yang diberikan terhadap promosi eksport dalam bajet 2018, eksport dijangka kekal kukuh pada tahun 2018.

Prestasi eksport bulan September adalah disokong oleh permintaan yang kukuh terutamanya dari ASEAN, China, Hong Kong SAR, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Republik Korea (ROK), Jepun, Australia, Mexico dan Turki.

Pada September 2017, import tumbuh 15.2% kepada RM69.65 bilion berbanding September 2016. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2017, import berjumlah RM620.66 bilion, meningkat 22%.

Jumlah perdagangan pada September 2017 berkembang 15% kepada RM147.91 bilion. Perdagangan Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2017 meningkat 21.7% kepada RM1.311 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

 

Muan Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2017 dan Januari - September 2017