Membina Kemajuan Eksport Demi Rakyat dan Negara 71 Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) PPSPP merupakan inisiatif strategik yang dirangka untuk menyokong pertumbuhan eksport SPP tempatan berpotensi tinggi untuk lebih berdaya tahan dan berdaya saing sebagai juara eksport di peringkat serantau serta global. SPP di Malaysia ditakrifkan sebagai syarikat yang mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM50 juta hingga RM500 juta bagi sektor pembuatan, manakala bagi sektor perkhidmatan, sebanyak RM20 juta hingga RM500 juta. Program ini memfokuskan bukan sahaja kepada pembangunan SPP baharu, malah turut memperkasakan pertumbuhan 348 alumni PPSPP sedia ada agar terus memainkan peranan sebagai pemacu ekosistem perniagaan yang mampan. Pada tahun 2024, sebanyak 24 SPP daripada pelbagai sektor seperti E&E, ICT, jentera & peralatan, makanan & minuman, gaya hidup serta sains hayat telah dipilih sebagai peserta Wave 10 PPSPP. Setiap tahun, MATRADE akan melaksanakan kajian pengesanan impak untuk menilai dan merangka program yang berkaitan untuk meningkatkan lagi pembangunan SPP di peringkat antarabangsa. Hasil kajian pengesanan impak tahun 2023 adalah seperti berikut: • Jumlah pendapatan tahunan SPP secara kumulatif yang dicatatkan adalah sebanyak RM32.92 bilion, di mana RM19.15 bilion atau 58.2% adalah hasil yang dijana melalui eksport. • Alumni PPSPP juga telah berjaya memperkasakan pembangunan rantaian bekalan domestik yang merupakan tunjang utama ke arah memperkukuhkan daya saing SPP di pasaran global. Ini terbukti apabila lebih 10,000 PMKS telah terlibat di dalam rantaian bekalan eksport syarikat-syarikat peringkat pertengahan pada tahun 2023. • Selain itu, lebih daripada 5,300 peluang pekerjaan baharu telah berjaya diwujudkan di mana 42.8 peratus merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi (skilled) seperti kejuruteraan dan teknikal. • Alumni SPP juga telah berjaya menembusi 77 pasaran baharu termasuk Togo, Botswana, Moldova, Jamaica dan Venezuela serta mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 28.6%. MATRADE kekal komited dalam usaha memperkukuh kapasiti dan potensi SPP menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti bengkel fungsian, inisiatif pembangunan pasaran serta penglibatan berterusan dalam aktiviti promosi eksport. Antara dua (2) program utama PPSPP yang dilaksanakan pada tahun 2024 adalah Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif dan Program Penandaarasan. Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif 2024 Program ini merupakan acara tahunan yang menghimpunkan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) dan Pengurusan Tertinggi daripada setiap alumni PPSPP dengan matlamat untuk memperkasakan SPP Malaysia melalui keutamaan strategik yang telah digariskan serta meraikan pencapaian cemerlang mereka di pasaran global. Sidang kemuncak ini telah dirasmikan oleh Pengerusi MATRADE yang turut membentangkan Laporan Kajian Pengesanan Impak PPSPP bagi tahun 2023. Selain itu, sidang kemuncak ini juga merangkumi Sesi Bicara Santai bersama Ketua Pegawai Eksekutif SPP terpilih, serta Sesi Perkongsian melibatkan pakar industri dalam membincangkan topik “Kepimpinan Berdaya Tahan: Memanfaatkan Inovasi dan Pendigitalan”. Barisan panelis adalah terdiri daripada wakil Time dotCom Berhad, Ms Read, MATRADE, dan Deloitte Consulting yang berkongsi pandangan, idea dan pengalaman mereka dalam merangka strategi baharu untuk eksport, pembangunan rantaian bekalan serta inisiatif ke arah pertumbuhan mampan. Program Penandaarasan SPP dan PMKS 2024 Program ini telah berjaya dilaksanakan di beberapa buah negeri di semenanjung iaitu di Perak bagi wilayah utara dan Pahang bagi wilayah timur, serta di Sarawak bagi Malaysia Timur. Program ini merupakan platform bagi SPP yang berjaya di pasaran eksport untuk berkongsi maklumat, pengalaman, dan amalan latihan terbaik kepada perusahaan tempatan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membina jaringan strategik serta mengukuhkan hubungan dalam rantaian bekalan di antara SPP dengan PMKS. Program Penandaarasan ini telah menerapkan elemenelemen daya saing global seperti pendigitalan, kelestarian, dan penjenamaan di dalam pengantarabangsaan syarikat. Program ini juga merupakan usaha MATRADE dalam merakyatkan eksport dengan menjangkau ke negeri-negeri yang bukan merupakan negeri pengeksport utama Malaysia.
RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0