The Official Portal Of Malaysia External Trade Development Corporation

SELANGOR, 10 MAC 2026 (SELASA) – Program Outreach dan Latihan e-Dagang di bawah Program Pembangunan e-Dagang Rentas Sempadan (eBizLink 2.0) yang dianjurkan di Sepang, Selangor pada 4 Mac 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 160 usahawan tempatan, sekali gus melepasi sasaran awal sekitar 120 peserta.
Program yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini turut disokong oleh rakan strategik iaitu Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), Platfrom Selangor (PLATS), Wanita Berdaya Selangor serta Majlis Perbandaran Sepang. Antara pengisian utama termasuk taklimat berkenaan e-Dagang rentas sempadan dan logistik antarabangsa, sesi bimbingan memulakan perniagaan di platform e-Dagang global, serta perkongsian kisah kejayaan dua usahawan, En. Choong Jee Von dari Fipper Marketing Sdn Bhd dan Pn. Mazliana Binti Tahir, yang popular dengan jenama Chocotainer. Kedua-duanya telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negeri serta menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform e-Dagang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBrs. En. Abu Bakar Yusof, sambutan yang amat menggalakkan terhadap program ini jelas mencerminkan minat tinggi usahawan Selangor dalam mengadaptasi strategi pemasaran digital sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan. “Program seperti ini berjaya memberikan pendedahan yang signifikan kepada usahawan mengenai kepelbagaian teknologi digital termasuk pemasaran rentas sempadan. Ia membolehkan produk tempatan bukan sahaja dipasarkan di dalam negara, malah berupaya menembusi pasaran global,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Celik Digital Peringkat Negeri Selangor 2026 serta peluncuran Program eBizLink 2.0 di Sepang.

Program Celik Digital Negeri Selangor 2026 merupakan inisiatif sulung anjuran MATRADE menerusi eBizLink 2.0, iaitu antara program berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) yang bertujuan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang e-dagang rentas sempadan. “Sepanjang tahun 2026, di bawah inisiatif eBizLink 2.0, MATRADE telah merancang pelaksanaan sebelas (11) program promosi eksport e-Dagang rentas sempadan serta lima (5) program pemerkasaan keupayaan perdagangan digital khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara,” tambah beliau.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk melahirkan lebih ramai usahawan eksport yang berdaya saing di peringkat global, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau serta mempertingkat daya tahan ekonomi negara dalam era pendigitalan.