The Official Portal Of Malaysia External Trade Development Corporation

KUALA LUMPUR, 17 APRIL 2026 (JUMAAT) – Mengamati keperluan perbelanjaan berhemah dan memastikan pulangan bermanfaat kepada negara bagi program-program penggalakan eksport oleh pelbagai kementerian dan agensi, Jawatankuasa Koordinasi Eksport (JK-X) telah ditubuhkan sejak 2018 oleh MATRADE di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, JK-X berperanan untuk meneliti setiap program penggalakan eksport yang dirancang bagi mengoptimumkan penggunaan sumber Kerajaan, seterusnya memastikan penjimatan perbelanjaan Kerajaan. JK-X juga bertindak sebagai platform penting dalam menentukan hala tuju strategik sektor atau industri yang menyumbang kepada eksport negara keseluruhannya. Â

Pada tahun 2025, keseluruhan program penggalakan eksport yang diluluskan oleh JK-X telah menjana jualan eksport sebanyak RM141.97 bilion merangkumi sektor barangan dan perkhidmatan serta telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 syarikat Malaysia menerusi 339 program promosi eksport. Kejayaan pelaksanaan program-program ini telah menyumbang kepada prestasi perdagangan negara yang cemerlang, di mana pada tahun lepas, jumlah perdagangan antarabangsa Malaysia melepasi RM3 trilion buat pertama kalinya, dengan eksport mencatat pertumbuhan sebanyak 6.4% kepada RM1.61 trilion.Â

Cakna kesan konflik di Asia Barat dan isu geopolitik semasa, JK-X yang bersidang baru-baru ini menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan untuk menilai semula program dan strategi sedia ada agar disesuaikan dengan cabaran perdagangan antarabangsa yang dihadapi negara. Langkah ini adalah amat penting demi memastikan syarikat-syarikat Malaysia kekal relevan dan terus berdaya saing di pasaran antarabangsa. YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara turut menekankan kepentingan penglibatan aktif kementerian dan agensi bersama pihak industri bagi memahami cabaran sebenar untuk membolehkan Kerajaan melaksanakan tindakan yang bersasar dan berkesan.Â

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh MATRADE berhubung kesan konflik di Asia Barat, perdagangan negara bakal berdepan cabaran, sebagaimana yang dihadapi oleh negara-negara perdagangan yang lain. Dapatan MATRADE menunjukkan berlakunya penurunan jualan, kelewatan pesanan serta penyusutan peluang eksport, terutamanya ke rantau yang terlibat secara langsung dengan konflik ini. Lebih membimbangkan, terdapat kesan langsung diperhatikan terhadap rantaian bekalan global yang menyebabkan kekurangan bahan mentah serta kesukaran logistik yang meningkatkan kos termasuk insurans, yang menyumbang kepada peningkatan kos yang signifikan.Â

Mesyuarat JK-X tersebut juga telah memfokuskan kepada langkah-langkah mitigasi yang boleh diambil untuk memastikan aktiviti perdagangan antarabangsa Malaysia dapat terus berjalan. Dalam hubungan ini, antara pendekatan yang sedang diambil merangkumi pempelbagaian destinasi eksport ke pasaran baharu antaranya Amerika Latin, Afrika dan Asia Tengah; mempertingkatkan penggunaan Perjanjian Perdagangan Bebas (Free Trade Agreement - FTA) sedia ada; dan memperkasakan inisiatif digital melalui penggunaan Platform MADANI Digital Trade (MDTP) dalam melaksanakan padanan perniagaan di antara pengeksport Malaysia dan pembeli asing di negara-negara berisiko tinggi.
Kerajaan sentiasa menekankan bahawa pertumbuhan eksport negara yang mampan adalah salah satu keutamaan ekonomi Malaysia. Inisiatif-inisiatif bagi mencapai sasaran eksport yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas bukan sahaja akan memberikan pulangan ekonomi secara makro, malahan menyumbang langsung kepada penghasilan pekerjaan dan pelaburan di dalam negara. Justeru, MITI, melalui MATRADE yang bertindak sebagai Urus Setia kepada JK-X akan terus menyelaras usaha keseluruhan Kerajaan (whole-of-government) bagi memastikan daya saing eksport negara tidak terjejas dan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, walaupun dalam situasi yang semakin mencabar.Â
Â