KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI 2026 (RABU) – Program Pembangunan e-Dagang Rentas Sempadan (eBizLink) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), adalah satu inisiatif strategik oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam memacu agenda pendigitalan negara dikalangan pengeksport Malaysia terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBrs. Encik Abu Bakar Yusof, “Program eBizLink ini telah mencatat kejayaan memberangsangkan dengan menjana jualan eksport bernilai RM274 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya dari 2023 hingga 2025. Program ini juga berimpak tinggi yang mencerminkan komitmen berterusan MATRADE dalam menggalakkan eksport melalui platform e-Dagang rentas sempadan serta memperkukuh akses pasaran global oleh syarikat tempatan, khususnya PMKS. 

Menurut beliau lagi, “Sepanjang tempoh perlaksanaan, sejumlah 1,855 syarikat tempatan telah menerima manfaat melalui 37 aktiviti promosi eksport digital yang dilaksanakan di pelbagai pasaran antarabangsa termasuk Arab Saudi, China, Chile, Filipina, Indonesia, Nigeria, Singapura, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam, Perancis, Jerman, Bangladesh dan Thailand”.

Sektor utama yang menyumbang kepada pencapaian jualan eksport ini merangkumi farmaseutikal, produk penjagaan diri, kosmetik dan makanan dan minuman serta perkhidmatan. Program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti PMKS melalui pelaksanaan program bimbingan perdagangan digital di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Kedah dan Negeri Sembilan.  Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pemain industri e-Dagang rentas sempadan antarabangsa.

Program eBizLink menggunakan pendekatan promosi digital menyeluruh yang merangkumi promosi melalui platform e-Dagang berpotensi, padanan perniagaan dalam talian, pendekatan Online-to-Offline (O2O), pemasaran media sosial (S-Commerce), e-Marketing, penggunaan pempengaruh digital (Key Opinion Leaders, KOL) serta program kesedaran dan latihan berkaitan e-Dagang rentas sempadan.

Sepanjang tempoh RMKe-12, MATRADE juga telah menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pemain industri antarabangsa dalam ekosistem perdagangan digital, termasuk Amazon, eBay, TikTok, DHL Express, Lulu Hypermarket, FamilyMart, Carrefour, HKTV Mall dan beberapa rakan strategik lain, bagi memperluas capaian pasaran serta meningkatkan daya saing eksport syarikat Malaysia.

Kejayaan Program eBizLink ini membuktikan keberkesanan pendekatan digital dalam memperkasa PMKS tempatan dan menyokong agenda pendigitalan perdagangan negara, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk melahirkan lebih banyak pengeksport berdaya tahan dan berorientasikan pasaran global.

“Program eBizlink ini diteruskan bagi RMK13 berdasarkan kepada rekod pencapaian yang menggalakan pada RMKe-12. Program eBizLink ini telah diluluskan untuk RMK13 dengan nama baharu iaitu eBizLink 2.0 bagi tempoh lima (5) tahun bermula dari tahun 2026 hingga 2030,” tambah beliau. 

Bagi tahun 2026, anggaran sebanyak 16 program dan inisiatif dijadualkan akan dijalankan sepanjang tahun melibatkan kerjasama pelbagai rakan-rakan strategik di pasaran-pasaran yang terpilih seluruh dunia. Program ini turut menyasarkan untuk membantu sebanyak 2,000 syarikat dan menjana jualan eksport berjumlah RM250 juta bagi tempoh RMK13 melalui inisiatif promosi digital untuk memacu perniagaan syarikat Malaysia dalam e-Dagang rentas sempadan.

 

FaLang translation system by Faboba