Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
Â
PRESTASI PERDAGANGAN LUAR BAGI TEMPOH JANUARI-MAC 2026 DAN BULAN MAC 2026
Perdagangan, Eksport dan Import pada Suku Pertama (S1) 2026 Kekal Pada Trajektori Peningkatan dan Catat Nilai Tertinggi Direkodkan Bagi S1 Meskipun Berdepan Ketidaktentuan Global
Perdagangan Malaysia terus berada pada trajektori pengembangan pada suku pertama (S1) 2026, meningkat sebanyak 10.4% kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport meningkat 12.7% kepada RM426.53 bilion, mencatat nilai suku tahunan yang kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 7.7% kepada RM363.31 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion. Ini merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi S1 untuk perdagangan, eksport dan import.Â
Peningkatan eksport pada suku tahun pertama ini didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, dan juga hasil galian, khususnya bijih logam dan serpihan logam. Barangan E&E terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan eksport, dengan peningkatan melebihi RM40 bilion, disokong oleh permintaan global yang mampan serta penggunaan teknologi yang berterusan di kalangan pasaran utama. Ketiga-tiga barangan ini merekodkan nilai eksport suku tahunan yang tertinggi setakat ini.Â
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada S1 2026, manakala eksport ke ASEAN berkembang dengan lebih sederhana. Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, dengan eksport yang lebih tinggi direkodkan ke pasaran seperti Hong Kong Special Administration Region of China (Hong Kong SAR), Mexico, Republik Korea (ROK), India dan United Kingdom (UK). Eksport ke AS, Taiwan, Hong Kong SAR dan ROK merekodkan nilai suku tahunan tertinggi setakat ini.Â
Bagi bulan Mac 2026, perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan, berkembang 9.3% tahun ke tahun kepada RM272.95 bilion, disokong oleh pertumbuhan kedua-dua eksport dan import. Eksport meningkat 8.3% kepada RM148.75 bilion, nilai bulanan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 10.4% kepada RM124.20 bilion. Ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM24.55 bilion, merupakan lebihan yang ke-71 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi bulan Mac.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Mac 2026 dan Januari - Mac 2026
Prestasi Perdagangan : Mac 2026 dan Januari - Mac 2026 (Infografik)