Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
Â
NILAI TERTINGGI PERDAGANGAN, EKSPORT DAN IMPORT DALAM SEJARAH
Â
Pencapaian Bersejarah Nilai Perdagangan Melepasi RM3 Trilion
Prestasi perdagangan Malaysia merekodkan pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai tertinggi setakat ini yang mencerminkan daya tahan serta daya saing negara mendepani persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu. Jumlah perdagangan buat pertama kalinya melepasi paras RM3 trilion, mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3% tahun ke tahun. Eksport melepasi RM1 trilion bagi tahun kelima berturut-turut, mengembang 6.5% kepada nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM1.607 trilion manakala import naik 6.2% kepada RM1.455 trilion. Prestasi yang memberangsangkan ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion, merupakan lebihan yang ke-28 tahun berturut-turut sejak 1998.
Pertumbuhan eksport yang kukuh ini telah disokong oleh rekod eksport tertinggi ke rakan dagang tradisional, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), yang mencerminkan penglibatan kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi. Pencapaian ini direkodkan meskipun berdepan ketidaktentuan global yang berpanjangan, termasuk ketegangan geopolitik, penstrukturan semula rantaian bekalan serta peningkatan risiko perlindungan perdagangan. Eksport ke Republik Rakyat China (China) walau bagaimanapun berkembang pada kadar yang lebih sederhana.
Rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang komprehensif, termasuk rangka kerja serantau utama seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif
Serantau (RCEP), terus memainkan peranan penting dalam memudahkan akses pasaran, mempelbagaikan destinasi eksport serta mengurangkan risiko perdagangan. Memanfaatkan perjanjian ini, eksport meneruskan trend peningkatan, dengan eksport ke Hong Kong SAR, Mexico dan Kanada merekodkan nilai tertinggi setakat ini, disokong oleh pertumbuhan dari pelbagai kategori barangan.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Disember 2025 dan Januari - Disember 2025
Prestasi Perdagangan : Disember 2025 dan Januari - Disember 2025 (Infografik)