Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
Â
PERTUMBUHAN DUA DIGIT EKSPORT DORONG PERDAGANGAN MALAYSIA KE PARAS TERTINGGI BAGI FEBRUARI
Eksport Mencatatkan Pertumbuhan Konsisten Sejak Julai 2025, Disokong oleh Kenaikan Ketara Eksport Barangan E&E
Prestasi perdagangan Malaysia kekal berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh pada Februari 2026, meningkat 9.5% tahun ke tahun kepada RM245.20 bilion, mencatatkan kenaikan bagi bulan keenam berturut-turut. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan eksport yang konsisten sejak Julai 2025, naik 10.8% kepada RM130.95 bilion, manakala import bertambah 8.2% kepada RM114.24 bilion. Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.71 bilion, merupakan yangÂ
ke-70 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi bulan Februari.
Peningkatan eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, di samping hasil galian khasnya bijih logam dan serpihan logam.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan dua digit. Walaupun eksport keseluruhan ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) merekodkan penyusutan, peningkatan telah dicatatkan ke Hong Kong SAR, Mexico, Republik Korea (ROK), India dan United Kingdom (UK).
Prestasi perdagangan negara terus mengukuh bagi tempoh dua bulan pertama 2026, meningkat 11.0% kepada RM516.89 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport berkembang 15.2% kepada RM277.78 bilion, manakala import meningkat 6.4% kepada RM239.11 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM38.67 bilion. Perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan mencatatkan paras tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh tersebut.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Februari 2026 dan Januari - Februari  2026
Prestasi Perdagangan : Februari 2026 dan Januari - Februari 2026 (Infografik)