PERDAGANGAN MALAYSIA KEKAL KUKUH PADA JANUARI 2026, PERMULAAN TAHUN YANG MEMBERANGSANGKAN

Nilai Perdagangan, Eksport, Import dan Lebihan Dagangan Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Januari

Prestasi perdagangan Malaysia pada Januari 2026 kekal kukuh, mencerminkan daya tahan serta daya saing negara dalam perdagangan antarabangsa pada awal tahun. Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 12.6% tahun ke tahun kepada RM272.37 bilion, disokong oleh pengembangan eksport untuk bulan ketujuh berturut-turut yang mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 19.6% kepada RM146.87 bilion, manakala import meningkat secara sederhana sebanyak 5.3% kepada RM125.50 bilion. Lebihan dagangan meneruskan momentum positif untuk bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020, berjumlah RM21.37 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari.

Prestasi eksport bulanan yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatat pertumbuhan sebanyak 39.5% atau hampir RM20 bilion. Pertumbuhan eksport turut disokong oleh kenaikan eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Dari segi pasaran, eksport ke kesemua rakan dagang utama menunjukkan peningkatan, diterajui oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh ke Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), manakala eksport ke ASEAN naik pada kadar yang lebih sederhana. Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, khususnya ke Hong Kong Special Administration Region of China (Hong Kong SAR), Republik Korea (ROK), Mexico, India, United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan New Zealand. Eksport ke Taiwan dan Hong Kong SAR merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.

Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Januari 2026
Prestasi Perdagangan : Januari 2026 (Infografik)

FaLang translation system by Faboba