Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
Prestasi Kukuh Pacu Pertumbuhan Perdagangan Terpantas dalam Tempoh 44 Bulan, Eksport dan Lebihan Dagangan Catat Nilai Bulanan Tertinggi Baharu
Momentum eksport Malaysia terus mengukuh pada Mei 2026, disokong oleh pertumbuhan berterusan barangan dan pasaran utama, memacu eksport mencapai nilai bulanan tertinggi baharu. Perdagangan berkembang 29.8% tahun ke tahun  kepada RM327.63 bilion dan merupakan kadar pertumbuhan terpantas dalam tempoh 44 bulan. Eksport mengekalkan trajektori peningkatan bagi 11 bulan berturut-turut, melonjak 45.3% kepada RM184.00 bilion, rekod tertinggi setakat ini mengatasi nilai yang dicatatkan pada April 2026. Ini juga merupakan pertumbuhan eksport terpantas sejak Ogos 2022. Sementara itu, import meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 14.1% kepada RM143.62 bilion. Lebihan dagangan dicatatkan bagi bulan ke-73 berturut-turut sejak Mei 2020, mengembang kepada RM40.38 bilion, hasil pertumbuhan pantas eksport mengatasi import dan merupakan rekod bulanan tertinggi setakat ini.
Pertumbuhan eksport disokong terutamanya oleh barangan perkilangan dan hasil galian yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit. Barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama, meningkat sebanyak RM38 bilion kepada nilai tertinggi baharu, disokong oleh permintaan kukuh terhadap teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan automotif. Prestasi ini diperkukuhkan lagi oleh peningkatan eksport keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Mei 2026 dan Januari - Mei 2026
Prestasi Perdagangan : Mei 2026 dan Januari - Mei 2026 (Infografik)