Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
KUALA LUMPUR, 22 JUN 2026 – Sektor perdagangan luar Malaysia mencatatkan daya tahan strategik yang luar biasa, dengan jumlah perdagangan bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 berkembang sebanyak 18.3% tahun ke tahun kepada RM1.455 trilion. Didorong oleh permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan permintaan tenaga global yang tinggi, eksport melonjak 24.3% kepada RM793.84 bilion, mengatasi pertumbuhan import sebanyak 11.8% kepada RM661.07 bilion.
Prestasi cemerlang ini mendorong lebihan dagangan Malaysia ke paras tertinggi sebanyak RM132.77 bilion bagi tempoh lima bulan tersebut, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding RM46.93 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Mengulas pencapaian ini, En. Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE menyatakan bahawa, “Eksport elektrik dan elektronik (E&E) melonjak 39.7% kepada RM382.89 bilion, didorong oleh peningkatan luar biasa sebanyak 61.6% dalam eksport semikonduktor yang dikhususkan untuk infrastruktur AI global. Produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 22.9% dan 1.5%, dipacu oleh lonjakan harga tenaga global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Tambahan pula, eksport komponen automotif dan kenderaan elektrik (EVs and plug-in hybrid EVs) dalam industri dan pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) juga berganda 115.8%, membuktikan bahawa kedudukan Malaysia semakin kukuh dalam rantaian nilai global.”
Abu Bakar Yusof turut menekankan kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, naik daripada tangga ke-23 setahun sebelumnya, sebagai pengiktirafan lanjut terhadap hala tuju ekonomi negara. “Kedudukan Malaysia yang melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, pencapaian terbaik kita dalam tempoh terkini, merupakan pengesahan luaran yang jelas terhadap asas-asas yang sama yang mendorong prestasi perdagangan kita pada hari ini. Peningkatan yang dicapai merentasi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur adalah bukti nyata bahawa Malaysia sedang membina ekosistem yang betul, ekosistem yang melahirkan pengeksport dan syarikat SME yang berdaya saing, mampu memenangi kontrak global dan semakin mendalam dalam rantaian nilai antarabangsa Lebihan dagangan rekod RM132.77 bilion dan kedudukan dalam 15 teratas daya saing dunia yang dicapai dalam tempoh yang sama menceritakan kisah yang sama: Malaysia semakin menjadi destinasi perniagaan yang lebih boleh dipercayai dan lebih cekap, dan dunia mula menyedarinya,” katanya.
Selain pasaran tradisional, Malaysia terus mempelbagaikan landskap eksportnya merentasi rantau yang baharu muncul ke Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur secara kolektif mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Antara negara yang mencatatkan prestasi luar biasa termasuklah Mexico (+46.2%), Brazil (+18.5%), Uzbekistan (+33.8%), Croatia (+117.9%), Bulgaria (+106.9%) dan Hungary (+64.6%), di samping lonjakan luar biasa di pasaran-pasaran perintis seperti Sudan (+264.0%), Liberia (+140.2%) dan Republik Demokratik Congo (+137.8%).
MATRADE akan terus memantau perkembangan semasa di Asia Barat bagi menangani gangguan bekalan global yang dihadapi oleh penggiat industri dan pengeksport di Malaysia. “Melalui 47 pejabat perdagangan luar negara MATRADE serta Pasukan Trade Resilience Task Force yang telah ditubuhkan, kami akan sentiasa mengadakan libat urus secara konsisten dengan penggiat industri tempatan, pengeksport dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi mempermudah akses pasaran. Ini adalah untuk memastikan gangguan tersebut dapat diatasi dengan berkesan, sekali gus memastikan perdagangan dan eksport Malaysia terus berkembang,” ulas Abu Bakar Yusof.