PENINGKATAN PERDAGANGAN DIPACU OLEH EKSPORT KUKUH BARANGAN E&E YANG BERTERUSAN#

Perdagangan Meningkat pada November 2025, Meneruskan Rekod Lebihan Dagangan ke-67 Bulan

Prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada November 2025, dengan nilai perdagangan mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 11.1% tahun ke tahun kepada RM263.83 bilion. Eksport meneruskan aliran menaik untuk bulan kelima berturut-turut, meningkat 7.0% kepada RM134.97 bilion manakala import mengembang 15.8% kepada RM128.86 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM6.12 bilion direkodkan, merupakan lebihan dagangan yang ke-67 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport, meningkat hampir RM8.0 bilion, sejajar dengan prospek positif bagi industri semikonduktor global. World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) telah menyemak naik unjuran bagi pertumbuhan jualan semikonduktor global tahun 2025 kepada 22.5% (unjuran terdahulu: 15.4%). Barangan lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport adalah barangan optik dan saintifik serta bijih logam dan serpihan logam yang mencerminkan kekuatan eksport yang meluas merentasi pelbagai sektor.

Pertumbuhan eksport direkodkan ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan. Momentum kukuh eksport terus direkodkan ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), dengan kenaikan ketara direkodkan ke Hong Kong SAR, Mexico, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, United Kingdom (UK), Chile dan Peru. Eksport ke Taiwan, khususnya, melonjak ke paras tertinggi pernah dicatatkan.

Bagi tempoh Januari hingga November 2025, Malaysia merekodkan nilai kumulatif tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Perdagangan meningkat 5.8% kepada RM2.775 trilion, eksport bertambah 6.1% kepada RM1.454 trilion manakala import mengembang 5.6% kepada RM1.321 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM132.56 bilion.

Penyertaan negara Timor-Leste sebagai ahli ASEAN baru-baru ini dijangka akan memperkukuhkan lagi integrasi perdagangan serantau serta memperluas peluang ekonomi di seluruh Asia Tenggara. Seiring penglibatan secara progresif negara tersebut dalam perjanjian perdagangan ASEAN dan rantaian bekalan serantau, Malaysia berpotensi meraih manfaat melalui akses pasaran yang lebih luas,
kesalinghubungan perdagangan yang dipertingkatkan serta pertambahan prospek pelaburan.

Sehubungan itu, MITI dan MATRADE menggalakkan para pengeksport terus memberi fokus untuk mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, kekal responsif terhadap perkembangan perdagangan global serta memanfaatkan secara strategik FTA Malaysia.

Butiran lanjut mengenai Prestasi Perdagangan Malaysia bulan November 2025 dan Januari hingga November 2025 boleh didapati di Lampiran di bawah, yang perlu dibaca bersama dengan Nota yang mengiringi laporan ini.

KEMENTERIAN PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
19 DISEMBER 2025

Nota kaki: Syarikat-syarikat Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya sokongan dan bantuan yang tersedia bagi mengembangkan capaian mereka di peringkat global, memperkukuh pertumbuhan serta kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa. Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan sokongan eksport, sila layari: https://www.matrade.gov.my/en/25-malaysian-exporters/services-for-exporters/111-exports-assistance

Mengenai MITI
MITI ialah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkualiti dan mengukuhkan lagi status negara yang semakin meningkat sebagai sebuah negara perdagangan yang berdaya saing di peringkat dunia. Objektif dan peranannya berorientasi kepada memastikan pembangunan pesat ekonomi Malaysia serta membantu mencapai matlamat negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Pertanyaan media:
Unit Komunikasi Strategik, MITI
Tel : +603 6200 0083
Faks : + 603 6206 4293
Email : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

FaLang translation system by Faboba