KUALA LUMPUR, 5 MEI 2026 (SELASA) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengumumkan kerjasama strategik dengan CBI, sebuah pusat bagi promosi pengeluaran mampan dan perdagangan antara pasaran pesat membangun dan Belanda serta Eropah. Kerjasama ini bertujuan untuk mengintegrasikan sumber Risikan Pasaran Eropah (Market Intelligence) CBI ke dalam Platform MADANI Digital Trade (MDTP) di bawah program kerjasama digital.

CBI adalah sebahagian daripada Agensi Perusahaan Belanda (Netherlands Enterprise Agency) dan ditugaskan oleh Kementerian Luar Negeri Belanda. Ia menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberikan latihan, maklumat pasaran dan khidmat nasihat untuk meningkatkan kualiti produk serta memenuhi piawaian Eropah. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perdagangan mampan yang memberi manfaat kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana serta pasaran Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof berkata: “Usaha ini bertujuan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeksport Malaysia dengan akses kepada maklumat pasaran yang kritikal bagi menyokong pengembangan ke pasaran Eropah. Akses kepada risikan pasaran Eropah yang berkualiti dan boleh dipercayai ini akan memperkukuh keupayaan PKS Malaysia untuk mengeksport produk bernilai tambah dan khusus (niche) ke Eropah.”

Edouard van der Haas, wakil dari CBI berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MATRADE kerana inisiatif ini selaras dengan misi CBI untuk bekerjasama dengan PKS dan ekosistem mereka dalam memperkukuhkan aspek kemampanan sosial dan alam sekitar. Kerjasama ini juga bertujuan menggalakkan perdagangan mampan, menjana peluang pekerjaan berkualiti serta memperkasa golongan wanita dan belia.”

Inisiatif ini menyediakan akses kepada pelbagai sumber komprehensif termasuk kira-kira 250 kajian pasaran, 30 berita terkini, dan 25 webinar yang dihasilkan setiap tahun oleh CBI. Bahan-bahan ini memfokuskan kepada sektor utama seperti pertanian, produk pengguna dan perkhidmatan.

Bagi menangani jurang maklumat pasaran, perkhidmatan Risikan Pasaran CBI menawarkan data dan analisis komprehensif yang menyeluruh serta terkini berkaitan trend, keperluan dan peluang pasaran di Eropah. Melalui kerjasama ini, MDTP akan berfungsi sebagai hab sokongan perniagaan utama dalam menyampaikan maklumat ini secara langsung kepada perniagaan Malaysia.

Kerjasama ini memanfaatkan teknologi iframe Maklumat Pasaran CBI, yang membolehkan versi ringkas platform CBI diintegrasikan terus ke dalam MDTP. Integrasi ini membolehkan pengguna mengakses penyelidikan pasaran yang meluas dengan mudah tanpa perlu meninggalkan platform.

Melalui akses yang dipertingkatkan ini, PKS boleh mendapatkan pemahaman berkaitan:

  • Pasaran Eropah berpotensi tinggi bagi produk dan perkhidmatan tertentu;

  • Strategi kemasukan pasaran dan saluran pengedaran yang berkesan;

  • Keperluan peraturan dan piawaian pematuhan; dan

  • Kaedah mengenal pasti serta berhubung dengan pembeli berpotensi di Eropah.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Risikan Pasaran CBI dan inisiatif kerjasama ini, sila layari: https://madanitrade.com/madani-digital-trade-and-cbi-partnership/

 

FaLang translation system by Faboba