Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
 
KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2026 (ISNIN) - Perdagangan Malaysia terus berada pada trajektori pengembangan pada suku pertama (S1) 2026, meningkat sebanyak 10.4% kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport meningkat 12.7% kepada RM426.53 bilion, mencatat nilai suku tahunan yang kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 7.7% kepada RM363.31 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion. Ini merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi S1 untuk perdagangan, eksport dan import.
Peningkatan eksport pada suku tahun pertama ini didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, dan juga hasil galian, khususnya bijih logam dan serpihan logam. Barangan E&E terus menjadi tunjang kepada pertumbuhan eksport, dengan peningkatan melebihi RM40 bilion, disokong oleh permintaan global yang mampan serta penggunaan teknologi yang berterusan di kalangan pasaran utama. Ketiga-tiga barangan ini merekodkan nilai eksport suku tahunan yang tertinggi setakat ini.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada S1 2026, manakala eksport ke ASEAN berkembang dengan lebih sederhana. Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, dengan eksport yang lebih tinggi direkodkan ke pasaran seperti Hong Kong Special Administration Region of China (Hong Kong SAR), Mexico, Republik Korea (ROK), India dan United Kingdom (UK). Eksport ke AS, Taiwan, Hong Kong SAR dan ROK merekodkan nilai suku tahunan tertinggi setakat ini.
Bagi bulan Mac 2026, perdagangan mengekalkan trajektori peningkatan, berkembang 9.3% tahun ke tahun kepada RM272.95 bilion, disokong oleh pertumbuhan kedua-dua eksport dan import. Eksport meningkat 8.3% kepada RM148.75 bilion, nilai bulanan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 10.4% kepada RM124.20 bilion. Ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM24.55 bilion, merupakan lebihan yang ke-71 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import mencecah nilai bulanan tertinggi bagi bulan Mac.
Ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat telah meningkatkan ketidaktentuan dalam perdagangan global serta memberi tekanan ke atas kos logistik dan kecekapan rantaian bekalan. Seiring itu, prospek luaran yang bercampur direkodkan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan volum perdagangan barangan global pada tahun 2026 akan berkembang lebih sederhana, iaitu sebanyak 1.9%. Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 8.6%, manakala import dijangka meningkat 9%, mencerminkan permintaan domestik dan luaran yang lebih kukuh.
Dalam perkembangan lain, integrasi kukuh Malaysia dalam perdagangan global turut dizahirkan melalui peningkatan dalam ranking WTO 2025, dengan eksport naik daripada tempat ke-25 kepada ke-23 dunia, perdagangan daripada tempat ke-24 kepada ke-23, dan import daripada tempat ke-25 kepada ke-24. Meskipun pencapaian ini mencerminkan daya tahan serta penglibatan mendalam Malaysia dalam rantaian bekalan global, prospek kekal terdedah kepada risiko luaran. Tahap kewaspadaan yang berterusan adalah penting memandangkan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan ini berpotensi menjejaskan permintaan global serta mengganggu dinamik rantaian bekalan. MITI dan MATRADE akan terus memantau rapat perkembangan global, manakala pengeksport digalakkan memanfaatkan FTA sedia ada, meneroka pasaran baharu serta mempelbagaikan penawaran barangan bagi memperkukuh daya tahan dalam persekitaran yang mencabar ini.
Â
Prestasi Eksport Sektor Utama
Kesemua Lima Eksport Barangan Utama Rekod Pertumbuhan
Pada Mac 2026, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 88.0% daripada jumlah eksport, mengekalkan trajektori peningkatan untuk bulan kesembilan berturut- turut, berkembang 9.6% tahun ke tahun kepada RM130.83 bilion. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik.
Eksport hasil galian (5.8% syer) pada Mac 2026 menyusut secara marginal sebanyak 0.4% tahun ke tahun kepada RM8.69 bilion, berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG). Walau bagaimanapun, peningkatan eksport dicatatkan bagi bijih logam dan serpihan logam, serta petroleum mentah yang disebabkan oleh kenaikan harga dan kuantiti eksport.
Eksport keluaran pertanian (5.1% syer) pada Mac 2026 jatuh 7.8% tahun ke tahun kepada RM7.55 bilion, disebabkan oleh penurunan harga eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, meskipun jumlah kuantiti eksport meningkat.
Barangan eksport utama pada Mac 2026:
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing berkembang sebanyak 14.6%, 7.2% dan 3.7%. Pada S1 2026, eksport barangan perkilangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 14.7% kepada RM372.34 bilion berbanding S1 2025, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan
perkilangan logam. Eksport hasil galian meningkat 4.4% kepada RM25.57 bilion, didorong oleh prestasi kukuh eksport bijih logam dan serpihan logam. Walau bagaimanapun, eksport keluaran pertanian menguncup 8.6% kepada RM23.73 bilion berikutan penurunan nilai eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.
Â
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Mac 2026, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) merangkumi 71.7% syer daripada jumlah perdagangan.
ASEAN – Perdagangan, Eksport dan Import Kembali Meningkat
Pada Mac 2026, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 25.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 7.9% tahun ke tahun kepada RM69.17 bilion. Eksport ke ASEAN berkembang 2.0% kepada RM38.51 bilion, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E. Import dari ASEAN kembali meningkat dengan pertumbuhan dua digit 16.4% kepada RM30.66 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang mencatatkan peningkatan adalah ke Thailand, yang mencapai nilai bulanan tertinggi setakat ini dengan peningkatan sebanyak RM1.03 bilion tahun ke tahun dan Viet Nam yang naik sebanyak RM1.61 bilion, didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Filipina bertambah sebanyak RM31.0 juta, disokong oleh eksport LNG yang lebih tinggi.
Berbanding Februari 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 23.1%, 22.9% dan 23.3%.
Bagi S1 2026, perdagangan dengan ASEAN berkembang 3.8% kepada RM193.06 bilion berbanding S1 2025. Eksport naik 0.1% kepada RM109.26 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari ASEAN meningkat 9.1% kepada RM83.80 bilion.
China – Pertumbuhan Dua Digit Perdagangan
Pada Mac 2026, perdagangan dengan China meningkat 19.6% tahun ke tahun kepada RM49.04 bilion, menyumbang 18.0% kepada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport berkembang 7.0% kepada RM17.25 bilion, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari China meningkat 27.8% kepada RM31.79 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-Â masing naik 13.6%, 16.0% dan 12.3%.
Bagi tempoh tiga bulan pertama 2026, perdagangan dengan China meningkat 19.5% kepada RM140.76 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport naik 11.8% kepada RM47.60 bilion, didorong oleh eksport kukuh bijih logam dan serpihan logam serta barangan E&E. Import dari China berkembang 23.8% kepada RM93.16 bilion.
AS –Pertumbuhan Eksport Empat Bulan Berturut-Turut
Pada Mac 2026, perdagangan dengan AS meningkat 16.7% tahun ke tahun kepada RM36.24 bilion, mewakili 13.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport mencatatkan pertumbuhan bagi bulan keempat berturut-turut, berkembang 18.3% kepada RM26.82 bilion didorong oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E. Import dari AS kembali meningkat sebanyak 12.3% kepada RM9.42 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 9.8%, 7.7% dan 16.3%.
Sepanjang S1 2026, perdagangan dengan AS meningkat 16.1% kepada RM100.86 bilion berbanding S1 2025. Eksport berkembang secara ketara sebanyak 30.3% kepada RM74.81 bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari AS menyusut 11.7% kepada RM26.05 bilion.
Taiwan – Nilai Eksport Tertinggi Pernah Dicatatkan
Pada Mac 2026, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 8.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 24.9% tahun ke tahun kepada RM22.53 bilion. Eksport melonjak 45.0% kepada rekod bulanan tertinggi baharu sebanyak RM10.06 bilion, didorong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan naik 12.3% kepada RM12.46 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 7.7% dan 20.2%, manakala import menyusut 0.6%.
Bagi S1 2026, perdagangan dengan Taiwan meningkat 25.7% kepada RM66.26 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport melonjak 61.9% kepada RM28.37 bilion, disokong oleh eksport lebih tinggi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan naik 7.6% kepada RM37.89 bilion.
EU – Eksport Barangan E&E Meningkat Meskipun Eksport Keseluruhan Menyusut
Pada Mac 2026, perdagangan dengan EU yang menyerap 6.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 2.2% tahun ke tahun kepada RM18.59 bilion. Eksport menurun 4.1% kepada RM10.36 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Walau bagaimanapun, peningkatan eksport turut direkodkan bagi barangan E&E dan minyak sayuran lain. Import dari EU naik 0.4 % kepada RM8.23 billion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 89.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
Eksport ke Ireland yang mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini meningkat sebanyak RM586.4 juta, manakala eksport ke Perancis berkembang RM55.1 juta dan eksport ke Poland meningkat RM95.1 juta, kesemuanya didorong oleh peningkatan eksport barangan E&E.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 4.2%, manakala perdagangan dan eksport masing-masing menyusut sebanyak 9.6% dan 18.2%.
Bagi S1 2026, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 12.7% kepada RM59.58 bilion berbanding S1 2025. Eksport berkembang 17.6% kepada RM35.24 bilion, disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam serta keluaran petroleum. Import dari EU meningkat 6.3% kepada RM24.34 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Mac 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 66.5%bdaripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 11.1% tahun ke tahun kepada RM181.59 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 6.2% kepada RM95.01 bilion dan import berkembang 17.1% kepada RM86.58 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-Â masing naik 6.9%, 20.6% dan 13.1%.
Bagi S1 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA meningkat 10.4% kepada RM515.45 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport berkembang 6.8% kepada RM269.01 bilion manakala import meningkat 14.7% kepada RM246.44 bilion.
Pada tempoh ini, peningkatan eksport direkodkan ke Hong Kong SAR, yang berkembang sebanyak 35.3% kepada RM31.71 bilion, Mexico yang melonjak 78.7% kepada RM8.03 bilion serta ROK yang naik 25.4% kepada RM14.80 bilion, disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E.
Sementara itu, eksport ke India bertambah 18.3% kepada RM13.90 bilion berikutan eksport kukuh minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, manakala eksport ke United Kingdom naik 17.2% kepada RM2.44 bilion susulan peningkatan eksport kimia dan bahan kimia.
Â
Prestasi Import
Jumlah import pada Mac 2026 meningkat sebanyak 10.4% tahun ke tahun kepada RM124.20 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 67.3% daripada jumlah import adalah seperti berikut:
Barangan modal, bernilai RM16.26 bilion atau 13.1% daripada jumlah import, meningkat 24.7% berikutan kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
Barangan penggunaan, bernilai RM8.97 bilion atau 7.2% daripada jumlah import, menguncup 7.8% berikutan pengurangan import makanan
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 8.7% didorong oleh kenaikan import barangan modal sebanyak 2.3%, manakala import barangan perantaraan dan penggunaan masing-masing menurun 1.5% dan 2.4%.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, import naik 7.7% kepada RM363.31 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Import barangan modal meningkat 2.4% kepada RM47.88 bilion, barangan penggunaan meningkat 2.0% kepada RM29.42 bilion dan barangan perantaraan menurun 1.8% kepada RM175.20 bilion.
Â