Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
Nilai Perdagangan, Eksport, Import dan Lebihan Dagangan Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Januari

Prestasi perdagangan Malaysia pada Januari 2026 kekal kukuh, mencerminkan daya tahan serta daya saing negara dalam perdagangan antarabangsa pada awal tahun. Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 12.6% tahun ke tahun kepada RM272.37 bilion, disokong oleh pengembangan eksport untuk bulan ketujuh berturut-turut yang mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 19.6% kepada RM146.87 bilion, manakala import meningkat secara sederhana sebanyak 5.3% kepada RM125.50 bilion. Lebihan dagangan meneruskan momentum positif untuk bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020, berjumlah RM21.37 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari.
Prestasi eksport bulanan yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatat pertumbuhan sebanyak 39.5% atau hampir RM20 bilion. Pertumbuhan eksport turut disokong oleh kenaikan eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Dari segi pasaran, eksport ke kesemua rakan dagang utama menunjukkan peningkatan, diterajui oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh ke Republik Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), manakala eksport ke ASEAN naik pada kadar yang lebih sederhana. Eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat, khususnya ke Hong Kong, Special Administration Region of China (Hong Kong SAR), Republik Korea (ROK), Mexico, India, United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan New Zealand. Eksport ke Taiwan dan Hong Kong SAR merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Didorong oleh prestasi ini, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan paling kukuh dalam tempoh tiga tahun pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, prestasi eksport yang mantap serta pelaburan yang berterusan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2025 merekodkan prestasi tahunan terbaik negara sejak 2022, berkembang 5.2% (2024: 5.1%).
Melangkah ke hadapan, MITI bersama MATRADE kekal komited untuk memperkukuh pertumbuhan eksport melalui pemanfaatan rangkaian FTA Malaysia, pengukuhan libat urus dengan rakan dagang utama, penerokaan pasaran baharu serta penyediaan sokongan menyeluruh kepada pengeksport tempatan bagi meningkatkan daya saing, memperkukuh ketahanan seterusnya mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
Â
Prestasi Eksport Sektor Utama
Barangan E&E Menerajui Pertumbuhan Eksport
Pada Januari 2026, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.7% daripada jumlah eksport Malaysia, merekod pertumbuhan kukuh dua digit 22.3% tahun ke tahun kepada RM127.36 bilion. Prestasi memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh peningkatan ketara eksport barangan E&E, yang melonjak 39.5% atau hampir RM20 bilion, diikuti oleh barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Eksport keluaran pertanian (syer 6.0%) menyusut 2.7% tahun ke tahun kepada RM8.88 bilion pada Januari 2026. Penurunan ini disebabkan oleh harga eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih rendah, meskipun kuantiti eksport meningkat.
Sementara itu, eksport hasil galian (6.0%) kembali meningkat sebanyak 2.7% tahun ke tahun kepada RM8.76 bilion, disokong oleh eksport bijih logam dan serpihan logam yang lebih kukuh.
Barangan eksport utama pada Januari 2026:
• Barangan E&E, bernilai RM70.53 bilion dan merangkumi 48.0% daripada jumlah eksport, meningkat 39.5% berbanding Januari 2025;
• Keluaran petroleum, RM8.13 bilion, 5.5% daripada jumlah eksport, ↓16.7%;
• Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.63 bilion, 4.5% daripada jumlah eksport, ↑13.0%;
• Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.53 bilion, 4.4% daripada jumlah eksport, ↓2.3%; dan
• Barangan optik dan saintifik, RM5.78 bilion, 3.9% daripada jumlah eksport, ↑36.2%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian meningkat 3.2% manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing menyusut sebanyak 4.2% dan 9.3%.
Â
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Januari 2026, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 70.3% daripada jumlah perdagangan.
ASEAN –Eksport Rekod Pertumbuhan Ketujuh Bulan Berturut-turut
Perdagangan dengan ASEAN pada Januari 2026 yang menyumbang 25.0% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 9.3% tahun ke tahun kepada RM67.97 bilion. Eksport naik 7.1% kepada RM39.42 bilion, merupakan pertumbuhan yang ketujuh bulan berturut-turut, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan logam. Import dari ASEAN berkembang 12.5% kepada RM28.55 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
• Singapura RM20.93 bilion, meningkat 0.4%, tahun ke tahun;
• Thailand RM5.60 bilion, ↑9.8%;
• Viet Nam RM5.05 bilion, ↑60.0%;
• Indonesia RM4.69 bilion, ↑10.0%;
• Filipina RM2.22 bilion, ↓6.4%;
• Myanmar RM342.9 juta, ↑34.2%;
• Kemboja RM322.8 juta, ↑23.4%;
• Brunei RM252.0 juta, ↓52.5%;
• Lao PDR RM9.6 juta, ↑64.8%; dan
• Timor-Leste RM2.0 juta, ↓23.2%.
Peningkatan eksport telah direkodkan ke Singapura, meningkat sebanyak RM82.4 juta tahun ke tahun, Thailand, yang berkembang sebanyak RM499.7 juta dan Viet Nam, yang bertambah sebanyak RM1.90 bilion, disokong oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport meningkat 1.5%, manakala perdagangan dan import masing-masing mengurang 0.5% dan 3.0%.
China – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan Dua Digit
Perdagangan dengan China pada Januari 2026 yang merangkumi 17.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 17.1% tahun ke tahun kepada RM48.53 bilion. Eksport kembali meningkat dengan pertumbuhan dua digit 16.1% kepada RM15.47 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi bijih logam dan serpihan logam, barangan E&E serta barangan makanan diproses. Import dari China meningkat 17.6% kepada RM33.06 bilion.
Berbanding Disember 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 9.5%, 17.2% dan 5.3%.
AS – Barangan E&E Pacu Pertumbuhan Eksport
Pada Januari 2026, perdagangan dengan AS yang mewakili 11.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 11.1% tahun ke tahun kepada RM31.63 bilion. Eksport meningkat bagi dua bulan berturut-turut, melonjak 33.9% kepada RM23.10 bilion, dipacu oleh kenaikan permintaan terhadap barangan E&E. Import dari AS menguncup 24.0% kepada RM8.52 bilion.
Berbanding Disember 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 14.4%, 17.5% dan 5.0%.
Taiwan – Eksport Melonjak ke Paras Tertinggi Baharu
Pada Januari 2026, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 8.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 11.6% tahun ke tahun kepada RM22.82 bilion. Prestasi ini didorong oleh lonjakan eksport ke paras tertinggi baharu, berkembang 79.4% kepada RM9.93 bilion dan merupakan pertumbuhan dua digit keempat bulan berturut-turut. Peningkatan ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Sementara itu, import dari Taiwan mengurang 13.6% kepada RM12.89 bilion.
Berbanding Disember 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 10.8%, 14.0% dan 8.4%.
EU – Pertumbuhan Eksport yang ke-12 Bulan Berturut-turut
Pada Januari 2026, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 19.8% kepada RM20.53 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Eksport berkembang bagi 12 bulan berturut-turut, mencatat pertumbuhan kukuh dua digit 26.0% kepada RM12.21 bilion, disokong oleh pertambahan eksport barangan E&E, keluaran petroleum serta kelengkapan pengangkutan. Import dari EU meningkat 11.9% kepada RM8.32 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
• Belanda RM4.36 bilion, meningkat 30.0%, tahun ke tahun;
• Jerman RM2.83 bilion, ↑1.2%;
• Perancis RM973.4 juta, ↑147.5%;
• Belgium RM684.0 juta, ↑16.1%;
• Republik Czech RM653.6 juta, ↑104.8%;
• Poland RM491.2 juta, ↑84.2%;
• Itali RM454.2 juta, ↓13.9%;
• Hungary RM312.6 juta, ↑50.0%;
• Sepanyol RM280.0 juta, ↓45.5%; dan
• Austria RM261.6 juta, ↑190.8%.
Di antara pasaran utama yang merekodkan peningkatan eksport adalah Belanda, yang naik sebanyak RM1.00 bilion tahun ke tahun serta Perancis yang bertambah sebanyak RM580.1 juta, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Jerman meningkat RM34.8 juta, berikutan pertumbuhan eksport barangan optik dan saintifik.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 5.3%, 2.1% dan 9.7%.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Januari 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 65.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 14.0% tahun ke tahun kepada RM178.86 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA naik 14.5% kepada RM95.22 bilion manakala import berkembang 13.5% kepada RM83.64 bilion.
Peningkatan eksport direkodkan ke Hong Kong SAR, yang melonjak sebanyak 58.0% kepada RM11.66 bilion; ke ROK, meningkat 27.6% kepada RM4.65 bilion serta ke Mexico, yang melonjak 122.1% kepada RM3.03 bilion, berikutan kenaikan eksport barangan E&E. Eksport ke Hong Kong SAR turut mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Pada masa sama, eksport ke India meningkat 35.7% kepada RM4.73 bilion, manakala eksport ke UAE bertambah 18.1% kepada RM1.42 bilion, disokong oleh eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih tinggi.
Sementara itu, eksport ke UK berkembang 35.3% kepada RM875.0 juta berikutan permintaan kukuh terhadap barangan kertas dan pulpa serta eksport ke New Zealand naik 2.6% kepada RM518.4 juta didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi kimia dan bahan kimia.
Berbanding Disember 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 3.7%, 1.5% dan 6.0%.
Â
Prestasi Import
Jumlah import pada Januari 2026 meningkat 5.3% tahun ke tahun kepada RM125.50 bilion. Tiga kategori utama import mengikut kegunaan akhir, yang merangkumi 67.9% daripada jumlah import, adalah seperti berikut:
• Barangan perantaraan, bernilai RM57.65 bilion atau 45.9% daripada jumlah import, menguncup 5.1% tahun ke tahun, berikutan penurunan import alat ganti dan aksesori barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
• Barangan modal, bernilai RM15.80 bilion atau 12.6% daripada jumlah import, menurun 20.7%, disebabkan oleh pengurangan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
• Barangan penggunaan, bernilai RM11.73 bilion atau 9.3% daripada jumlah import, meningkat 16.7%, disokong oleh kenaikan import barangan tahan lama.
Berbanding Disember 2025, jumlah import menurun 4.0%. Import barangan modal meningkat 4.4%, manakala import barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing-masing menyusut sebanyak 5.5% dan 5.8%.
Â