Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2026 (JUMAAT) – Untuk lima bulan berturut-turut sejak September 2025, prestasi perdagangan luar Malaysia terus mengekalkan momentum positif. Lebih membanggakan, jumlah perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan yang direkodkan pada Januari 2026 merupakan yang tertinggi dalam sejarah pernah dicatatkan bagi bulan Januari dalam tempoh 36 tahun, sejak tahun 1990.
Jumlah perdagangan negara melonjak 12.6% kepada RM272.37 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport terus menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan 19.6% kepada RM146.87 bilion, mengekalkan pertumbuhan positif selama tujuh bulan berturut-turut sejak Julai 2025. Sementara itu, import mencatatkan kenaikan 5.3% kepada RM125.5 bilion. Nilai eksport yang lebih tinggi berbanding import, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.37 bilion, melonjak 483.9% berbanding Januari 2025.
Dari segi destinasi eksport, Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit ke hampir semua pasaran utama kecuali ASEAN. Eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat, China, EU dan Taiwan secara kolektifnya menyumbang 68.2% kepada jumlah eksport negara pada bulan Januari 2026. Eksport ke Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan dua digit selama dua bulan berturut-turut sebanyak 33.9% kepada RM23.1 bilion dan merupakan nilai tertinggi bagi bulan Januari dalam sejarah yang pernah direkodkan. Manakala, eksport ke China juga meningkat dua digit sebanyak 16.1% kepada RM15.47 bilion. Manakala, eksport ke China juga meningkat dua digit sebanyak 16.1% kepada RM15.47 bilion. Selain itu, eksport ke Taiwan melonjak sebanyak 79.4% kepada RM9.93 bilion, merupakan nilai bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan. Eksport ke ASEAN meningkat 7.1% kepada RM39.42 bilion, disokong oleh pertumbuhan eksport ke tujuh negara anggota ASEAN. Prestasi ini mencerminkan daya tahan permintaan serantau serta integrasi rantaian bekalan yang semakin kukuh dalam kalangan negara anggota.
Manakala bagi komposisi barangan eksport, Elektrik dan Elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang terbesar dengan syer sebanyak 48% dengan lonjakan eksport sebanyak 39.5% kepada RM70.53 bilion. Prestasi ini selari dengan kenaikan permintaan global terhadap barangan semikonduktor yang dipacu oleh kemajuan pesat aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta kitaran peningkatan teknologi yang berterusan.
Barangan lain yang turut menjadi pemacu eksport negara termasuklah barangan optik dan saintifik yang melonjak 36.2%, barangan makanan diproses (↑16.5%), kelengkapan pengangkutan (↑13.8%) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (↑13%).

Mengulas mengenai prestasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof berkata:
"Pencapaian prestasi eksport yang memberangsangkan pada awal tahun 2026 ini membuktikan daya tahan dan daya saing syarikat pengeksport Malaysia di peringkat global. Lonjakan eksport barangan E&E, terutamanya semikonduktor khususnya komponen litar bersepadu elektronik (ICs), meletakkan Malaysia pada posisi strategik untuk memanfaatkan unjuran pertumbuhan pasaran semikonduktor dunia yang dijangka berkembang sebanyak 26.3% tahun ini.
Selain itu, barangan yang mempunyai Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV) seperti barangan optik dan saintifik, kelengkapan pengangkutan terutamanya aeroangkasa serta barangan makanan turut mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Prestasi ini sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan hala tuju pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan peningkatan nilai tambah, inovasi serta pengukuhan rantaian bekalan domestik dan global.
Sehubungan itu, MATRADE akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh daya saing global eksport negara melalui pelaksanaan program pembangunan pengeksport serta promosi eksport bagi memastikan momentum pertumbuhan ini kekal mampan sepanjang tahun. Ini termasuklah mempergiatkan usaha untuk menggalakkan pengeksport dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk memanfaatkan 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk memperkukuhkan akses pasaran dan tahap daya saing global.
Bagi tahun 2026, MATRADE telah merangka sebanyak 203 program berimpak tinggi yang merangkumi misi perdagangan, sesi padanan perniagaan antarabangsa dan inisiatif pembangunan kapasiti. Inisiatif strategik ini disasarkan untuk memperkasa lebih 13,400 syarikat Malaysia, khususnya PMKS, agar mampu menembusi, memperluas dan mengekalkan kedudukan di pasaran global”.
Selain itu, prestasi perdagangan dengan rakan dagang FTA turut menunjukkan momentum kukuh apabila nilai eksport meningkat 14.5% kepada RM95.22 bilion, sekali gus menyumbang sebanyak 64.8% kepada jumlah keseluruhan eksport negara. Peningkatan ini dipacu oleh pertumbuhan eksport ke pasaran strategik seperti Mexico, dengan peningkatan ketara sebanyak 122.1%, kepada RM3.03 bilion, Hong Kong SAR (↑58%), India (↑35.7%), United Kingdom (↑35.3%), Republik Korea (↑27.6%) dan New Zealand (↑2.6%). Di antara barangan yang menyumbang kepada kenaikan eksport ke pasaran FTA adalah barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam, barangan optik dan saintifik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Eksport barangan E&E mendominasi 42.9% daripada jumlah eksport ke pasaran FTA pada Januari 2026, mengukuhkan peranan strategik Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi dunia.
Melangkah ke hadapan, berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2026 oleh Kementerian Kewangan, pertumbuhan eksport Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 2.8% bagi keseluruhan tahun 2026, disokong terutamanya oleh permintaan stabil dalam pasaran teknologi global yang berperanan sebagai pemangkin utama dalam mengukuhkan prestasi eksport barangan bernilai tinggi negara.