Portal Rasmi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
KUALA LUMPUR, 19 MAC 2026 (KHAMIS) – Prestasi perdagangan Malaysia bagi dua bulan pertama tahun 2026 telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa. Lebihan dagangan berkembang pesat sebanyak 137.6% mencecah RM38.67 bilion.
Jumlah perdagangan pula meningkat sebanyak 11.0% kepada RM516.89 bilion, didorong oleh pertumbuhan eksport yang lebih tinggi berbanding import.
Prestasi Sektor Utama:
Barangan Elektrik dan Elektronik (E&E): Menjadi pemacu utama dengan peningkatan 34.2%, menyumbang RM131.34 bilion (47.3% daripada jumlah eksport).
Jentera, Kelengkapan dan Peralatan: Peningkatan ketara  39.8% kepada RM12.49 bilion.
Minyak Sawit dan Keluaran Pertanian Berasaskan Minyak Sawit: Kekal sebagai penyumbang utama pada nilai RM12.41 bilion dengan pertumbuhan 6.6%.
Kepelbagaian Pasaran: Walaupun pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (+38.1%) dan Hong Kong (+45.8%) mencatatkan pertumbuhan eksport yang ketara, Malaysia kini berjaya beralih ke arah pasaran pesat membangun yang berpotensi tinggi. Pertumbuhan eksport yang ketara dicatatkan di negara-negara seperti:
Uzbekistan (+19.5%), Mexico (+64.6%), Brazil (+39.1%), Afrika Selatan (+106.9%), Mesir (+28.2%), Mozambique (+55.2%), Sudan (+723.1%), dan Ethiopia (+887.0%).
Langkah ini merupakan bahagian penting dalam strategi kepelbagaian nasional untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan hab tradisional dan ketidaktentuan global.
Menangani Cabaran Geopolitik: Di sebalik angka yang memberangsangkan ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang mengambil langkah proaktif bagi membendung kesan konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat. Konflik tersebut telah menyebabkan sekatan maritim serta lonjakan kos logistik perdagangan global.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof, menyatakan:
"Peningkatan signifikan dalam lebihan dagangan kita adalah petunjuk jelas bahawa Malaysia terus mengekalkan momentum prestasi yang dicapai pada tahun 2025. Walau bagaimanapun, keutamaan kami sekarang adalah untuk mengurangkan kesan sekatan 'dua hala' (double-ended blockade) yang menjejaskan penghantaran logistik dengan memanfaatkan eksport produk tempatan di Asia Barat dengan mendapatkan maklum balas masa nyata (real time) berkaitan rintangan logistik maritim".
Beliau menambah bahawa tinjauan menunjukkan 63.9% pengeksport menjangkakan eksport mereka akan terjejas akibat kelewatan penghantaran dan kenaikan ketara kos logistik maritim.
MATRADE kini menggerakkan pejabat di Dubai, Jeddah, Kaherah dan Doha untuk memberikan maklumat risikan di lapangan dan membantu pengeksport mengemudi sekatan maritim Timur Tengah. Pengeksport digalakkan untuk meneroka alternatif lain seperti menghantar semula kargo ke pelabuhan berisiko rendah seperti Fujairah atau Salalah, serta membuat pelan diversifikasi pasaran ke wilayah yang kurang terkesan seperti Asia Selatan, Amerika Latin dan Afrika.
MATRADE juga aktif bekerjasama dengan persatuan industri seperti FMM, MCMTC, dan MICCI untuk berkongsi maklumat kritikal dan penyelarasan rantaian bekalan bagi memintas gangguan di Laut Merah.