Eksport E&E yang Kukuh Memacu Perdagangan, Eksport dan Import ke Paras Tertinggi dalam Sejarah, Catat Pertumbuhan Perdagangan Tahun ke Tahun Terpantas dalam Tempoh 43 Bulan

Prestasi perdagangan Malaysia pada April 2026 kekal berdaya tahan, disokong oleh  pengembangan berterusan dalam pasaran dan barangan eksport utama. Meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meruncing berikutan ketegangan  geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan kenaikan kos logistik, gangguan rantaian  bekalan serta ketidaktentuan harga komoditi, perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi cemerlang pada April 2026 dan meneruskan trajektori pertumbuhan positif,  dengan perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat  ini. 

Perdagangan meningkat 28.6% tahun ke tahun, pertumbuhan terpantas sejak  September 2022, dan mencapai nilai RM336.73 bilion. Eksport pula meneruskan  momentum pertumbuhan bagi bulan ke-10 berturut-turut dengan kenaikan sebanyak  36.9% kepada RM182.74 bilion, melonjak hampir RM30 bilion berbanding rekod  tertinggi sebelum ini (Disember 2025: RM152.77 bilion). Sementara itu, import  berkembang 20.0% kepada RM153.99 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM28.75 bilion dihasilkan, dan merupakan lebihan yang ke-72 bulan berturut-turut sejak Mei  2020. 

Pertumbuhan eksport didorong terutamanya oleh pengembangan dua digit barangan eksport utama, diterajui oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat  sebanyak hampir RM28 bilion ke paras tertinggi baharu, disokong terutamanya oleh permintaan kukuh daripada barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik  automotif. Pengembangan eksport ini turut diperkukuh oleh kenaikan ketara eksport  keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta  jentera, kelengkapan dan peralatan. Eksport barangan optik dan saintifik serta jentera,  kelengkapan dan peralatan merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. 

Dari segi pasaran, eksport ke semua rakan dagang utama iaitu ASEAN, Republik  Rakyat China (China), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU)  merekodkan pertumbuhan kukuh dua digit dengan eksport ke ASEAN, Taiwan dan EU  mencecah rekod tertinggi setakat ini. Sementara itu, rangkaian Perjanjian Perdagangan  Bebas (FTA) Malaysia yang meluas terus memudah cara akses pasaran dan  mempelbagaikan destinasi eksport negara. Memanfaatkan perjanjian ini, eksport ke  rakan dagang FTA kekal berada pada trend pertumbuhan, dengan kenaikan eksport  telah direkodkan antaranya ke Hong Kong SAR, Republik Korea (ROK), Australia, India  dan Turkiye yang meningkat ke paras tertinggi baharu, disokong oleh permintaan kukuh yang merentasi pelbagai jenis barangan. 

Prestasi perdagangan negara terus mengukuh bagi tempoh Januari hingga April 2026,  dengan perdagangan melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan, sebulan  lebih awal berbanding tahun sebelumnya. Perdagangan meningkat 15.3% kepada  RM1.127 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025, didorong oleh eksport yang  menokok 19.0% kepada RM609.31 bilion serta kenaikan import 11.1% kepada  RM517.40 bilion. Susulan itu, lebihan dagangan meningkat dua kali ganda berbanding  tahun sebelumnya kepada RM91.92 bilion. Perdagangan, eksport, import dan lebihan  dagangan masing-masing mencatatkan paras tertinggi bagi tempoh ini. 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi Malaysia mencatatkan  prestasi yang memberangsangkan pada suku pertama (S1) 2026, dengan Keluaran  Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 5.4% tahun ke tahun, pengukuhan berbanding  4.4% direkodkan pada S1 2025. Sementara itu, menurut Tabung Kewangan 

Antarabangsa (IMF), prospek ekonomi Malaysia kekal positif meskipun berdepan  cabaran global. Dalam penerbitan 2026 World Economic Outlook (WEO), IMF telah  menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK harga malar Malaysia kepada 4.7% bagi  tahun 2026, mencerminkan keyakinan terhadap asas makroekonomi negara,  permintaan domestik yang mampan serta prestasi eksport yang memberangsangkan. 

Meskipun ia merupakan satu perkembangan positif, MITI dan MATRADE akan terus  memantau rapat perkembangan perdagangan global serta kekal proaktif dalam  memperkukuh daya tahan perdagangan Malaysia bagi memastikan momentum  pertumbuhan dapat diteruskan. 

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan Cecah Nilai Tertinggi Setakat Ini 

Pada April 2026, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 88.7% daripada  jumlah eksport melonjak 40.1% kepada RM162.13 bilion, mencatatkan nilai bulanan  tertinggi pernah direkodkan. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan eksport  barangan E&E, keluaran petroleum serta barangan perkilangan logam. Secara  khususnya, eksport barangan E&E mencatat nilai bulanan tertinggi baharu. 

Sementara itu, eksport hasil galian (5.6% syer) meningkat dengan kenaikan sebanyak  25.6% tahun ke tahun kepada RM10.20 bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi bijih logam dan serpihan logam. 

Eksport keluaran pertanian (4.9% syer) kembali meningkat sebanyak 5.2% kepada  RM8.91 bilion, disumbangkan oleh kenaikan nilai eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan peningkatan kuantiti serta harga eksport. 

Barangan eksport utama pada April 2026:  

  • Barangan E&E bernilai RM88.16 bilion dan merangkumi 48.2% daripada jumlah  eksport, meningkat 46.4% berbanding April 2025; 
  • Keluaran petroleum, RM14.47 bilion, 7.9% daripada jumlah eksport, ↑70.2%; 
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM8.19 bilion, 4.5% daripada jumlah eksport,  ↑26.6%;
  • Barangan perkilangan logam, RM7.28 bilion, 4.0% daripada jumlah eksport,  ↑42.7%; dan
  • Barangan optik dan saintifik, RM7.11 bilion, 3.9% daripada jumlah eksport, ↑40.9%. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 24.0%,  16.2% dan 18.0%.

Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, eksport barangan perkilangan melonjak  21.3% kepada RM534.44 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025, disokong  oleh eksport kukuh barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta keluaran  petroleum. Eksport hasil galian meningkat 9.9% kepada RM35.84 bilion berikutan  eksport lebih tinggi bagi bijih logam dan serpihan logam. Walau bagaimanapun, eksport  keluaran pertanian menyusut 5.2% kepada RM32.63 bilion disebabkan oleh penurunan  nilai eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah  asli. 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama 

Pada April 2026, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN,  China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 71.0% syer daripada jumlah perdagangan.

ASEAN – Eksport ke Kesemua Pasaran Rekod Pertumbuhan 

Pada April 2026, perdagangan dengan ASEAN yang menyumbang 27.0% kepada  jumlah perdagangan Malaysia meningkat 34.3% tahun ke tahun kepada RM90.83  bilion. Eksport mencatatkan nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan dengan  peningkatan sebanyak 31.4% kepada RM53.47 bilion. Prestasi ini disokong oleh  eksport kukuh barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia. Import  dari ASEAN meningkat 38.7% kepada RM37.36 bilion. 

Pecahan eksport ke negara ASEAN: 

  • Singapura RM28.32 bilion, meningkat 23.2%, tahun ke tahun;
  • Thailand RM7.58 bilion, ↑30.9%; 
  • Viet Nam RM7.53 bilion, ↑65.0%; 
  • Indonesia RM5.77 bilion, ↑36.0%; 
  • Filipina RM3.04 bilion, ↑30.7%; 
  • Kemboja RM472.7 juta, ↑73.1%;  
  • Myanmar RM378.3 juta, ↑50.1%; 
  • Brunei RM372.9 juta, ↑52.7%; 
  • Lao PDR RM7.0 juta, ↑69.7%; dan 
  • Timor-Leste RM4.6 juta, ↑24.7%.

Eksport ke semua pasaran ASEAN merekodkan pertumbuhan dua digit, khasnya ke  Singapura yang meningkat sebanyak RM5.33 bilion tahun ke tahun, Thailand RM1.79  bilion dan Viet Nam RM2.97 bilion, didorong oleh pertambahan eksport barangan E&E.  Sementara itu, eksport ke Indonesia dan Filipina masing-masing naik sebanyak  RM1.53 bilion dan RM714.5 juta berikutan eksport keluaran petroleum yang lebih tinggi.  Eksport ke Filipina, Singapura, Viet Nam dan Thailand turut mencatatkan paras  tertinggi baharu.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing berkembang 31.3%, 38.9% dan 21.9%.

Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, perdagangan dengan ASEAN naik 12.0%  kepada RM283.89 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport ke rantau  ini meningkat 8.6% kepada RM162.73 bilion, disokong oleh pertumbuhan eksport  barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta keluaran petroleum. Import dari  ASEAN berkembang 16.8% kepada RM121.16 bilion. 

China – Pertumbuhan Dua Digit Perdagangan bagi Lapan Bulan Berturut turut 

Pada April 2026, perdagangan dengan China yang mewakili 18.0% daripada jumlah  perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 37.6% tahun ke tahun kepada RM60.67  bilion. Ini merupakan pertumbuhan dua digit bagi lapan bulan berturut-turut dan kadar  pertumbuhan terpantas sejak Mei 2021. Eksport meningkat 39.2% kepada RM19.96  bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta bijih logam dan  serpihan logam. Import dari China meningkat 36.8% kepada RM40.71 bilion. 

Berbanding Mac 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat  sebanyak 23.7%, 15.6% dan 28.1%. 

Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, perdagangan dengan China naik 24.4%  kepada RM201.43 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport  bertambah 18.7% kepada RM67.56 bilion berikutan pertumbuhan eksport bijih logam dan serpihan logam serta barangan E&E. Import dari China meningkat 27.5% kepada  RM133.87 bilion.

AS – Pertumbuhan Dua Digit Eksport bagi Lima Bulan Berturut-turut 

Perdagangan dengan AS pada April 2026 yang merangkumi 10.8% daripada jumlah  perdagangan Malaysia menyusut sebanyak 3.7% tahun ke tahun kepada RM36.30  bilion. Walau bagaimanapun, eksport terus mencatatkan pertumbuhan dua digit  sebanyak 39.0% kepada RM26.72 bilion, pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut.  Pengembangan ini disokong oleh peningkatan eksport barangan E&E, minyak sawit  dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan optik dan saintifik.  Import dari AS menurun 48.1% kepada RM9.58 bilion.

Berbanding Mac 2026, perdagangan dan import masing-masing meningkat sebanyak  0.2% dan 1.7%, manakala eksport berkurang 0.4%. 

Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, perdagangan dengan AS meningkat 10.1%  kepada RM137.16 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025. Eksport  mengekalkan trend pertumbuhan dengan kenaikan dua digit 32.5% kepada RM101.54  bilion, disokong oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, barangan optik dan  saintifik serta barangan perkilangan logam. Import dari AS menurun 25.7% kepada  RM35.63 bilion. 

Taiwan – Rekod Tertinggi Baharu Eksport 

Pada April 2026, perdagangan dengan Taiwan yang menyumbang 8.6% kepada jumlah  perdagangan Malaysia melonjak 39.6% kepada RM29.02 bilion berbanding April 2025.  Eksport melonjak sebanyak 86.0% kepada RM13.43 bilion sekali gus mencapai paras  tertinggi baharu, didorong oleh eksport kukuh barangan E&E, barangan optik dan  saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan berkembang  15.0% kepada RM15.59 bilion.

Berbanding Mac 2026, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat  sebanyak 28.9%, 33.5% dan 25.1%.

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2026, perdagangan dengan Taiwan  meningkat 29.6% kepada RM95.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025.  Eksport melonjak 68.9% kepada RM41.80 bilion, dipacu oleh peningkatan eksport  barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.  Import dari Taiwan naik 9.7% kepada RM53.48 bilion. 

EU – Eksport Cecah Nilai Tertinggi Setakat Ini

Pada April 2026, perdagangan dengan EU yang merangkumi 6.6% daripada jumlah  perdagangan Malaysia meningkat 26.4% tahun ke tahun kepada RM22.36 bilion.  Eksport melonjak ke paras tertinggi baharu dengan peningkatan sebanyak 43.5%  kepada RM13.62 bilion, disokong terutamanya oleh eksport barangan E&E yang lebih  tinggi. Import dari EU meningkat 6.5% kepada RM8.74 bilion. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.9% daripada jumlah  eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

  • Belanda RM4.85 bilion, meningkat 54.7%, tahun ke tahun;
  • Jerman RM2.59 bilion, ↑2.5%; 
  • Ireland RM1.06 bilion, ↑1,430.7%; 
  • Belgium RM943.2 juta, ↑63.9%; 
  • Itali RM893.9 juta, ↑52.2%; 
  • Perancis RM720.5 juta, ↑16.8%; 
  • Republik Czech RM443.4 juta, ↑86.3%; 
  • Hungary RM390.9 juta, ↑67.9%; 
  • Poland RM379.7 juta, ↑12.2%; dan 
  • Sepanyol RM379.6 juta, ↓21.3%.

Eksport ke semua pasaran utama EU mencatatkan pertumbuhan kecuali Sepanyol.  Antara pasaran eksport utama yang merekodkan peningkatan ialah Belanda yang naik sebanyak RM1.72 bilion dan Ireland RM994.1 juta, masing-masing disokong oleh  eksport barangan E&E yang lebih tinggi. Sementara itu, eksport ke Jerman naik RM63.0 juta disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan optik dan saintifik.  Eksport ke Belanda dan Ireland turut mencatatkan rekod bulanan tertinggi baharu.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing berkembang sebanyak 20.3%, 31.5% dan 6.2%. 

Bagi tempoh empat bulan pertama 2026, perdagangan dengan EU meningkat 16.2%  kepada RM81.94 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. Eksport  melonjak 23.9% kepada RM48.86 bilion didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari EU naik 6.4%

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA 

Pada April 2026, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 68.3%  daripada jumlah perdagangan Malaysia melonjak 37.5% tahun ke tahun kepada  RM230.05 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 35.3% kepada RM121.04  bilion, manakala import berkembang 40.0% kepada RM109.00 bilion. 

Antara pasaran yang merekodkan pertumbuhan eksport ialah Hong Kong SAR yang  melonjak 67.8% tahun ke tahun kepada RM12.29 bilion dan Jepun meningkat 6.4%  kepada RM6.54 bilion, didorong oleh eksport kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke  Australia berkembang 51.1% kepada RM6.23 bilion manakala eksport ke New  Zealand melonjak 120.6% kepada RM845.3 juta, disokong oleh kenaikan eksport  keluaran petroleum. 

Sementara itu, eksport ke India meningkat 48.4% kepada RM6.01 bilion dan eksport  ke Peru melonjak 80.5% kepada RM75.5 juta, dipacu oleh eksport kukuh jentera,  kelengkapan dan peralatan. Eksport ke Turkiye berkembang 45.0% kepada RM2.22  bilion manakala eksport ke Pakistan meningkat 67.5% kepada RM419.0 juta, didorong  oleh kenaikan eksport barangan perkilangan logam. 

Selain itu, eksport ke ROK bertambah 62.2% kepada RM6.60 bilion berikutan  permintaan yang lebih tinggi bagi gas asli cecair (LNG). Eksport ke United Kingdom  (UK) pula meningkat 81.8% kepada RM1.20 bilion disumbangkan oleh eksport yang  lebih tinggi bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, manakala eksport ke Kanada naik 38.2% kepada RM637.4 juta disokong oleh pertumbuhan eksport barang kemas. Eksport ke Chile turut berkembang sebanyak 84.9% kepada RM188.3 juta  berikutan kenaikan eksport kimia dan bahan kimia. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing meningkat sebanyak 26.7%, 27.3% dan 25.9%. 

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2026, perdagangan dengan rakan dagang  FTA berkembang 17.6% kepada RM745.54 bilion. Eksport meningkat 14.2% kepada  RM390.09 bilion manakala import naik 21.5% kepada RM355.45 bilion berbanding  tempoh yang sama pada tahun 2025. 

Prestasi Import 

Jumlah import pada April 2026 meningkat 20.0% tahun ke tahun kepada RM153.99  bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 49.5%  daripada jumlah import adalah seperti berikut: 

  • Barangan perantaraan, bernilai RM47.23 bilion atau 30.7% daripada jumlah  import, menurun 18.8% tahun ke tahun berikutan pengurangan import alat ganti  dan aksesori barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; 
  • Barangan modal, bernilai RM18.67 bilion atau 12.1% daripada jumlah import,  menyusut 20.7% disebabkan oleh pengurangan import barangan modal bukan  kelengkapan pengangkutan; dan 
  • Barangan penggunaan, bernilai RM10.25 bilion atau 6.7% daripada jumlah import,  berkembang 5.6% hasil kenaikan import barangan tahan lama.

Berbanding Mac 2026, import meningkat 23.9%. Import barangan modal dan barangan  penggunaan masing-masing naik sebanyak 15.4% dan 14.2%, manakala import  barangan perantaraan mengurang 19.3%.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, import berkembang 11.1% kepada RM517.40  bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Import barangan penggunaan  meningkat 2.9% kepada RM39.68 bilion, manakala import barangan perantaraan  menurun 5.9% kepada RM222.69 bilion dan barangan modal susut 5.5% kepada  RM66.48 bilion.

 

FaLang translation system by Faboba