NILAI TERTINGGI PERDAGANGAN, EKSPORT DAN IMPORT DALAM SEJARAH

 

Pencapaian Bersejarah Nilai Perdagangan Melepasi RM3 Trilion

Prestasi perdagangan Malaysia merekodkan pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai tertinggi setakat ini yang mencerminkan daya tahan serta daya saing negara mendepani persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu. Jumlah perdagangan buat pertama kalinya melepasi paras RM3 trilion, mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3% tahun ke tahun. Eksport melepasi RM1 trilion bagi tahun kelima berturut-turut, mengembang 6.5% kepada nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM1.607 trilion manakala import naik 6.2% kepada RM1.455 trilion. Prestasi yang memberangsangkan ini telah
menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion, merupakan lebihan yang ke-28 tahun berturut-turut sejak 1998.

Pertumbuhan eksport yang kukuh ini telah disokong oleh rekod eksport tertinggi ke rakan dagang tradisional, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU), yang mencerminkan penglibatan kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi. Pencapaian ini direkodkan meskipun berdepan ketidaktentuan global yang berpanjangan, termasuk ketegangan geopolitik, penstrukturan semula rantaian bekalan serta peningkatan risiko perlindungan perdagangan. Eksport ke Republik Rakyat China (China) walau bagaimanapun berkembang pada kadar yang lebih sederhana.

Rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang komprehensif, termasuk rangka kerja serantau utama seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), terus memainkan peranan penting dalam memudahkan akses pasaran, mempelbagaikan destinasi eksport serta mengurangkan risiko perdagangan.
Memanfaatkan perjanjian ini, eksport meneruskan trend peningkatan, dengan eksport ke Hong Kong SAR, Mexico dan Kanada merekodkan nilai tertinggi setakat ini, disokong oleh pertumbuhan dari pelbagai kategori barangan.

Usaha kepelbagaian ke pasaran baharu turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport, terutamanya ke negara-negara seperti Nigeria, Tanzania, Togo, Angola, Yaman, Maghribi, Uzbekistan, Puerto Rico, Kyrgyzstan, Kenya dan Algeria, mencerminkan kejayaan Malaysia dalam meneroka pasaran bukan tradisional yang berpotensi.

Dari segi sektoral, eksport barangan perkilangan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan bersejarah tahun ini, mencatatkan rekod nilai tertinggi. Prestasi ini dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik, masing-masing turut merekodkan paras tertinggi. Keluaran pertanian turut menyokong pertumbuhan, disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Prestasi yang kukuh turut digambarkan melalui pelonjakan kedudukan Malaysia ke tangga 23 sebagai negara paling berdaya saing global, berbanding tangga ke-34 pada tahun 2024 yang dikeluarkan oleh International Institute for Management Development (IMD), mencerminkan kemajuan ketara dalam pemulihan ekonomi, pembentukan semula serta pengukuhan daya saing keseluruhan negara.

Prestasi perdagangan, eksport dan import Malaysia yang memberangsangkan pada tahun 2025 menjelaskan kepentingan terhadap sokongan dasar yang berterusan serta pelaksanaan strategi promosi eksport yang berfokus di bawah kepimpinan MITI dan MATRADE. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), memastikan kesinambungan momentum serta pertumbuhan perdagangan yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global yang semakin meningkat.

Butiran lanjut mengenai Prestasi Perdagangan Malaysia bulan Disember 2025 dan tahun 2025 boleh didapati di Lampiran di bawah, yang perlu dibaca bersama dengan Nota yang mengiringi laporan ini.

KEMENTERIAN PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI
20 JANUARI 2026

Mengenai MITI

MITI ialah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan berkualiti dan mengukuhkan lagi status negara yang semakin meningkat sebagai sebuah negara perdagangan yang berdaya saing di peringkat dunia. Objektif dan peranannya berorientasi kepada memastikan pembangunan pesat ekonomi Malaysia serta membantu mencapai matlamat negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Pertanyaan media:
Unit Komunikasi Strategik, MITI
Tel : +603 6200 0083
Faks : + 603 6206 4293
Email : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Muat Turun PDF:
Prestasi Perdagangan Malaysia 2025: Nilai Tertinggi Perdagangan, Eksport Dan Import Dalam Sejarah

FaLang translation system by Faboba